Sarawak tolak permintaan Putrajaya ambil alih PBT


Desmond Davidson

Ketua Menteri Abang Johari Openg berkata terdapat permintaan oleh kerajaan persekutuan agar kerajaan negeri melepaskan autonominya dalam PBT. – Gambar The Malaysian Insight, 31 Julai, 2019.

SARAWAK menegaskan ia tidak akan menyerahkan hak autonominya berhubung pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketua Menteri Abang Johari Openg berkata terdapat permintaan oleh kerajaan persekutuan agar kerajaan negeri melepaskan autonominya untuk “menyelaraskan pentadbiran PBT”.

Sarawak tidak akan bersetuju dengan cadangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya PBT, kata ketua menteri selepas menyaksikan angkat sumpah 750 anggota bagi 24 majlis PBT di seluruh Sarawak petang ini.

“(Pentadbiran dan hak) ke atas PBT adalah hak autonomi kita di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Ia adalah hak negeri,” katanya merujuk kepada Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan yang memberi autonomi kepada Sarawak dan Sabah.

Ketua menteri tidak mendedahkan menteri persekutuan mana yang mencadangkan pengambilalihan itu tetapi membayangkan ia adalah “orang baru” yang “menganggap kerajaan tempatan juga urusan persekutuan”.

Dipercayai beliau merujuk kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Persekutuan Zuraida Kamaruddin yang membuat kunjungan rasmi kepada ketua menteri pada Jun tahun lepas - sebulan selepas kerajaan PH mengambil kuasa di Putrajaya.

Zuraida dalam lawatannya ke Kuching turut mengadakan mesyuarat tertutup dengan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Dr Sim Kui Hian walaupun tiada yang didedahkan mengenai mesyuarat itu.

Ahli majlis daerah dan perbandaran di Sarawak dilantik dan mereka biasanya merupakan pemimpin akar umbi parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang kini memegang tampuk kuasa.

Abang Johari juga berkata mulai tahun ini ahli majlis akan dibayar elaun tetap sebanyak RM300 sebulan selain elaun kehadiran mesyuarat, keputusan yang disambut dengan tepukan gemuruh.

Beliau juga memberitahu, mereka mempunyai peranan penting untuk sebagai tentera barisan hadapan GPS dalam pilihan raya negeri yang dijangka diadakan pada 2021.

“Mereka mahu perang, kita beri mereka perang,” katanya merujuk kepada gesaan pemimpin PH agar bersiap-siaga berperang semasa perhimpunan Harapan Sarawak Baru pada malam Ahad.

Beliau berkata mereka (ahli majlis) tidak boleh mengharapkan “jeneral” (pemimpin dalam kerajaan negeri) untuk bertempur.

Beliau memberi amaran kepada mereka jika GPS kalah pilihan raya, maka tiada apa yang mampu menghalang PH meminda Perlembagaan dan mencapai matlamat mereka untuk mengambil alih PBT.

“Jika mereka mengambil alih, mereka boleh menukar Perlembagaan bagi pengambilalihan persekutuan.” – 31 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen