KEGILAAN pelancong merakam gambar selfie bersama haiwan liar untuk dimuat naik ke Instagram adalah tindakan kejam terhadap spesies di Amazon, kata aktivis.
Persatuan Perlindungan Haiwan Dunia dalam satu laporan berkata Instagram menunjukkan peningkatan 292% berkaitan selfie bersama haiwan liar di seluruh dunia sejak 2014.
Daripada jumlah itu, 40% membabitkan manusia memeluk atau berinteraksi secara tidak sepatutnya dengan haiwan liar.
Dalam laporannya yang didedahkan pada Selasa, persatuan itu berkata haiwan berkenaan ditangkap dan biasanya dipukul untuk menjadikan mereka seperti satu persembahan bagi perniagaan pelancongan.
“Haiwan itu biasanya dipukul supaya tidak melawan, diambil daripada ibu mereka ketika masih bayi dan disimpan dalam tempat kotor, sempit dan diumpan dengan makanan. Semua itu memberikan kesan jangka panjang terhadap biologi dan sikap haiwan berkenaan,” kata kumpulan itu.
“Biasanya, pelancong tidak tahu kekejaman di sebalik haiwan yang tidak melawan itu.”
Amalan itu semakin meningkat di wilayah Amazon, dengan 61% spesies terbabit tersenarai dalam perlindungan antarabangsa oleh Konvensyen Perdagangan Spesies Pupus (CITES), menurut kumpulan itu.
Sebagai contoh di bandar Manaus, sebanyak 18 syarikat pelancongan berkata mereka menawarkan perkhidmatan “pegang haiwan liar sebagai prop bergambar”.
Kebanyakannya ialah selfie bersama haiwan seperti ikan lumba-lumba berwarna merah jambu, sloth berjari tiga, caiman (sejenis buaya), ular anakonda hijau dan monyet tupai.
“Sloth yang digunakan untuk selfie bersama pelancong tidak akan dapat hidup untuk enam bulan sekalipun dengan layanan seperti itu,” kata laporan itu.
Laporan itu turut menyenaraikan haiwan yang disimpan dalam keadaan teruk untuk perdagangan selfie, termasuk manatee (sejenis mamalia air seperti dugong) yang disimpan dalam tangki kecil di depan sebuah hotel dan seekor tenggiling gergasi yang dipukul oleh pemiliknya.
Roberto Cabral, koordinator penguatkuasaan di institut alam sekitar Brazil berkata menyimpan haiwan untuk pelancong mengambil gambar selfie adalah salah di sisi undang-undang. – AFP, 4 Oktober, 2017.
Komen