Ketua bahagian sekat penubuhan cawangan, dakwa ahli Bersatu


SM Amin

Sumber mendakwa ada pihak yang cuba menyekat penubuhan cawangan di kawasan tertentu untuk memastikan jawatan mereka terjamin dalam pemilihan parti.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2019.

SEGELINTIR ketua bahagian Bersatu di beberapa negeri sedang bergerak licik menubuhkan cawangan secara “rahsia” dengan membelakangkan pendaftar dan penaja awal parti di kawasan terlibat, kata sumber parti.

Sumber mendakwa ketua bahagian terlibat hanya membenarkan penubuhan cawangan yang boleh memberi mereka undi pada pemilihan pertama parti itu nanti, yang tarikhnya belum ditetapkan lagi setakat ini.

Perkara inilah yang menimbulkan kemarahan dan mencetus kekecohan semasa mesyuarat penubuhan beberapa cawangan Bersatu dalam bahagian Tangga Batu di Ayer Keroh pada Ahad lalu, kata sumber parti.

Sumber mendakwa ada pihak yang cuba menyekat penubuhan cawangan di kawasan tertentu untuk memastikan jawatan mereka terjamin dalam pemilihan parti.

The Malaysian Insight difahamkan kekecohan berlaku berhubung penubuhan empat cawangan iaitu Bukit Rambai, Pantai Puteri, Bukit Terendak dan Kerubong.

Seorang bekas pemimpin bahagian, Dzulkarnain Saiful Nathan berkata, keadaan jadi kecoh apabila penggerak awal Bersatu di Tangga Batu tidak berpuas hati apabila nama mereka tiada dalam senarai ahli cawangan.

Bekas timbalan ketua Bersatu Tangga Batu itu berkata, penggerak awal seperti naib ketua bahagian, Lal Saberi Lal Muhammad juga tidak dimaklumkan mengenai mesyuarat itu.

“Nama Saberi tiada dalam cawangan sedangkan beliau merupakan ketua PDM (Pusat Daerah Mengundi) Krubong.

“Dia dan penggerak-penggerak awal ini rasa hak mereka dinafikan. Notis mesyuarat tidak diuar-uarkan, nama pula tiada dalam senarai ahli, tidak logiklah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dzulkarnain mendakwa usaha licik itu didalangi ketua bahagiannya, Mohd Rafiq Naizamohideen yang hanya mahu menubuhkan cawangan yang memberi sokongan penuh kepadanya.

Dakwanya, Mohd Rafiq berasa terancam memandangkan baru menubuhkan empat cawangan sedangkan Saberi dan Timbalan Ketua Bahagian Hamidi Harun berjaya menubuhkan 11 cawangan.

“Hamidi dengan Saberi telah tubuhkan 11 cawangan cuma belum didaftarkan secara rasmi. Masih dalam proses ROS (Jabatan Pendaftar Pertubuhan),” katanya.

Mohd Rafiq ketika dihubungi The Malaysian Insight berkata beliau akan memberi kenyataan penuh pada masa akan datang.

Pimpinan Bersatu sebelum ini menetapkan setiap bahagian perlu menubuhkan sekurang-kurangnya 10 cawangan, dan tidak lebih daripada jumlah pusat daerah mengundi yang ada di bahagian itu.

Seorang penggerak awal Bersatu di Perak, Zulfahan Pagon pula menjelaskan, cawangan yang bakal ditubuhkan itu berpengaruh kerana mereka berkuasa memilih ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

“Sistem satu ahli satu undi akan memilih pimpinan di cawangan dan bahagian. Perwakilan bahagian akan pilih MPT. Siapa yang kawal cawangan akan tentukan MPT.

“Jika dapat kawal cawangan, boleh gerakkan semua penyokong yang merupakan perwakilan datang dan mengundi MPT. Inilah permainan yang dimainkan oleh para ketua bahagian sekarang,” ujarnya.

Penggerak awal Bersatu Pulau Pinang, Ahmad Kamal Abdul Halim pula melihat masalah keahlian dan pendaftaran cawangan parti bermasalah kerana tidak diuruskan dengan baik oleh setiausaha agung.

Katanya, selain tiada pengalaman menguruskan parti, Setiausaha Agung Marzuki Yahya terbeban dengan tugas sebagai pengerusi Bersatu Pulau Pinang dan juga timbalan menteri luar negeri.

“Kekecohan ini berlaku disebabkan kegagalan pengurusan pusat itu sendiri… Dalam Bersatu, hampir semua perkara perlu merujuk kepada Marzuki tetapi banyak isu-isu yang dibangkitkan tidak diselesaikan.

“Sebagai parti baharu, setiausaha agung tidak patut pegang banyak jawatan termasuk jawatan kabinet. Beliau patut fokus dengan urusan parti,” katanya.

The Malaysian Insight difahamkan, semua bahagian Bersatu diberi tempoh sehingga 15 Ogos ini untuk menubuhkan sekurang-kurangnya 10 cawangan, sebelum persidangan dan pemilihan bahagian boleh dilaksanakan, yang pertama sejak parti ditubuhkan pada 2016.

Perhimpunan Agung Khas Bersatu pada 20 Julai lalu meluluskan pindaan perlembagaan bagi membolehkan pemilihan parti itu ditangguhkan selama 18 bulan daripada tarikh ia sepatutnya diadakan. – 30 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen