Pesta F&B Jerman dibenarkan jika patuhi syarat, kata Azmin


PENGANJURAN pesta makanan dan minuman Jerman termasuk arak yang dijadual berlangsung di sebuah pasar raya di Klang minggu depan boleh dibenarkan asalkan menepati syarat dan peraturan yang ditetapkan, kata Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata sebelum ini pihaknya membenarkan program sama dijalankan kerana penganjur memenuhi syarat dan peraturan ditetapkan termasuk yang digariskan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK).

“Kita dah bagi approval awal lagi…bukan saja tahun ini tetapi tahun sebelumnya juga. Namun, approval itu diberi apabila penganjur mematuhi semua syarat dan peraturan yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Wanita Berdaya Saing (IWB) dan Dasar Wanita Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai penganjuran pesta yang dinamakan “Centro German F&B Party”, yang turut menyediakan minuman keras atau arak, dijadualkan berlangsung pada 12 dan 13 Oktober ini.

Pada Isnin lepas, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan penganjuran pesta itu ekoran wujud ancaman militan berkaitan acara berkenaan.

Fuzi berkata pihaknya pada masa sama turut menasihatkan MPK untuk tidak membenarkan penganjuran acara itu berlangsung di kawasan di bawah penyeliaannya.

Yang Dipertua MPK Mohamad Yasid Bidin pula mengakui pihaknya menangguhkan kelulusan permit sementara penganjuran pesta itu berikutan kegagalan penganjur mematuhi syarat yang ditetapkan.

Yasid berkata antara syarat utama kelulusan pengeluaran permit tersebut ialah pihak penganjur perlu mendapat pengesahan dan kebenaran daripada pihak polis. – Bernama, 4 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen