Kesaksamaan undang-undang untuk Orang Asli


Noor Azam Shairi

Orang Asli Temiar memasang sekatan menghalang pembalak daripada memasuki kampung mereka di Gerik, Perak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2019.

BETULKAH Orang Asli Temiar di Hulu Perak, malah Orang Asli di seluruh Perak, tiada hak ke atas tanah adat kerana status berkenaan tiada dalam peruntukan undang-undang negeri?

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu semalam sekali lagi menegaskannya begitu. Katanya, tiada tanah di Perak yang diiktiraf sebagai tanah adat untuk orang Asli mengikut undang-undang tubuh atau perlembagaan negeri.

Beliau juga membayangkan kerajaan tidak harus terlalu tunduk kepada desakan untuk mengiktiraf tanah adat Orang Asli kerana kaum lain pun nanti akan menuntut “tanah adat” mereka.

“Kalau ada NGO (badan masyarakat) yang menyatakan perlu berjuang untuk tanah adat Orang Asli bagaimana pula kalau tiba-tiba ada Melayu Mandailing meminta untuk kerajaan menyediakan tanah adat untuk kaum mereka pula dan orang Jawa cakap benda yang sama,” katanya, seperti dipetik Bernama, semalam.

Faizal membuat kenyataan semalam ketika pertembungan antara Orang Asli Temiar dan pembalak dekat Hutan Simpan Air Chepam di Hulu Perak sudah berlarutan berbulan-bulan.

Masyarakat Orang Asli Temiar yang mendiami hutan itu sejak turun temurun mempertahankan apa yang mereka anggap sebagai tanah adat. Syarikat pembalak pula mahu menebang pokok selepas mendapat izin daripada kerajaan negeri.

Bukankah kedudukan undang-undang mengenai tanah adat di Malaysia sudah muktamad, jelas dan terang – sekurang-kurangnya sejak 17 tahun lalu?

Pada 12 April, 2002 Mahkamah Tinggi Shah Alam dalam penghakiman yang bersejarah dalam kes Sagong Tasi dan lain-lain lawan Kerajaan Selangor dan lain-lain memperakui hak itu.

Kes Sagong Tasi itu sendiri diikuti oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada September 2015 ketika memutuskan Orang Asli Semai di Bidor, Perak ada hak ke atas tanah adat.

Kalau mahkamah sudah putuskan begitu empat tahun lalu, macam mana Faizal boleh kata tiada tanah yang diiktiraf sebagai tanah adat di Perak?

Kes Sagong Tasi antara lain memperakui hak Orang Asli ke atas tanah adat tidak terikat pada Kanun Tanah Negara sebaliknya adalah hak yang bersandar pada adat dan budaya mereka sendiri.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu semalam sekali lagi berkata Orang Asli tiada hak ke tas tanah adat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2019.

Kes itu menjelaskan apa yang dimaksudkan sebagai adat dan kepercayaan Orang Asli, yang kemudian membuktikan hak mereka ke atas tanah sebagai tanah adat. Orang Asli juga tidak dianggap menceroboh tanah kerajaan apabila tertubuhnya sebuah negara yang berdaulat, kata kes itu.

Kes tersebut melibatkan tanah penduduk di Kampung Bukit Tampoi, Dengkil yang diambil oleh kerajaan untuk membina lebuh raya menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Mereka enggan setuju dengan pampasan yang dijanjikan, lalu dipaksa pindah dan kes itu kemudiannya dibawa ke mahkamah.

Kerajaan Selangor, ketika itu di bawah pentadbiran Barisan Nasional, merayu keputusan bersejarah itu. Mahkamah Rayuan yang mendengar kes tersebut menolak rayuan dan bersetuju dengan keputusan sebelumnya.

Hakim Rayuan Gopal Sri Ram dalam penghakiman rayuan, yang dipersetujui dua hakim lain Arifin Zakaria dan Nik Hashim Nik Abdul Rahman, malah membuat satu komentar yang tajam mengkritik sikap kerajaan terhadap hak Orang Asli.

Kes Sagong Tasi sangat menyayat hati, katanya. Beliau membuat pemerhatian bagaimana kerajaan sebagai pihak berkuasa yang termaktub mengikut undang-undang harus melindungi Orang Asli sebalik mengkhianati mereka dan membenarkan mereka dilayan dengan buruk, kejam dan menindas.

“Saya sangat berharap agar episod seperti ini tidak akan berulang,” katanya.

Betapa silapnya Gopal, yang bersara lebih kurang lima tahun selepas menulis penghakiman itu.

Episod menyayat hati itu masih lagi terjadi – di Gua Musang, dan sekarang di Gerik.

Apa yang disebut oleh menteri besar Perak itu tidak jauh bezanya dengan pendirian kerajaan Kelantan dalam isu kedudukan tanah Orang Asli Temiar di Pos Simpor, Gua Musang.

Kelantan juga berkali-kali menegaskan Orang Asli di negeri itu tiada hak ke atas tanah adat kerana peruntukan mengenainya tidak disebut dalam undang-undang tubuh negeri.

Kemuncaknya, pada Januari lalu, Putrajaya mengambil tindakan ke atas Kelantan dan beberapa syarikat pembalakan di Gua Musang. Peguam Negara Tommy Thomas menjelaskan tindakan itu diambil kerana Orang Asli Temiar di Gua Musang berhadapan dengan pihak berkuasa dan tiada sesiapa yang berjuang untuk mereka.

Kalau pada Januari lalu Putrajaya tegas mengambil tindakan ke atas Kelantan kerana menceroboh hak tanah adat Orang Asli di Gua Musang, apa pula sikapnya terhadap Perak?

Apakah kerajaan Perak tidak akan diheret ke mahkamah sama seperti kerajaan Kelantan?

Apakah Putrajaya pilih bulu dan tidak mahu berjuang juga untuk Orang Asli Temiar di Gerik?

Adakah keterlaluan kalau rakyat mengharapkan pendirian dan sikap tegas yang sama harus juga ditunjukkan dalam kes Orang Asli Temiar di Gerik?

Apakah Putrajaya segan hendak saman kerajaan Perak kerana, seperti di persekutuan, negeri itu juga ditadbir di bawah Pakatan Harapan?

Apakah ada tafsir undang-undang yang lain untuk Kelantan dan Perak? Apakah ada dua undang-undang – satu untuk negeri pembangkang, satu lagi untuk negeri kerajaan persekutuan?

Sudah dicampak ke mana janji selama ini bahawa kerajaan yang dihantar ke Putrajaya oleh rakyat pada 9 Mei tahun lalu adalah kerajaan yang berdiri dengan dan untuk kedaulatan undang-undang?

Kedaulatan undang-undang dan kesaksamaan keadilan untuk semua yang dilaung-laungkan selama ini sudah dihumban ke mana?

Atau, Orang Asli sememangnya tiada harga apa-apa kecuali lima tahun sekali untuk undi? – 30 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen