Pikul tanggungjawab, tunaikan janji


The Malaysian Insight

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mungkin lebih sesuai di jawatan kerajaan tetapi nampaknya beliau agak lembab sebagai orang nombor 2 dalam parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2019.

APAKAH ciri seorang pemimpin yang disegani, terutamanya seorang pemimpin politik? Kejujuran, integriti dan mungkin juga menepati waktu. Tidak ramai yang menepati ciri ini tetapi antara yang hampir adalah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pemimpin lain perlu berusaha lebih keras kerana perdana menteri berusia 94 tahun itu meletakkan standard tinggi dengan mengisi jadual dengan pelbagai acara kerajaan dan politik.

Antaranya, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang dilihat sebagai ahli politik contoh. Prestasinya sebagai menteri besar Selangor begitu baik sehingga beliau dilantik semula ke jawatan itu selepas pilihan raya umum 2018.

Dr Mahathir bagaimanapun percaya beliau lebih sesuai menjadi menteri hal ehwal ekonomi.

Mungkin beliau lebih sesuai di jawatan kerajaan tetapi nampaknya beliau agak lembab sebagai orang nombor 2 dalam PKR. Beliau tidak hadir ke mesyuarat mingguan parti sejak November dan juga di pemukiman parti baru-baru ini.

Adakah ia disebabkan tugas di kementeriannya? Azmin menyebut perkara itu apabila ditanya mengenai ketidakhadirannya ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) semalam.

“Ada program parti yang saya hadir, kalau tiada tugas kerajaan. Kalau ada (tugas) saya akan maklum. Itu proses normal. Kenapa sasarkan saya?” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Katanya lagi beliau tidak datang mesyuarat kerana bertugas.

“Kita sebagai pemimpin parti kerajaan, kita ada tanggungjawab kepada kerajaan dan parti.

“Kita perlu membawa mandat ini secara bersama. Jadi, ada kalanya tugas kerajaan yang perlu kita dilaksanakan, itu juga tanggungjawab kita,” katanya.

Mesyuarat majlis pimpinan itu diadakan sebulan sekali, dengan tarikh yang ditetapkan dalam kalendar.

Beberapa orang anggota MPP juga tuang mesyuarat tetapi Azmin menjadi perhatian sejak Jun apabila beliau didakwa sebagai individu yang dirakam dalam satu video seks sejenis.

Azmin menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai usaha untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Menurut polis, rakaman video itu tulen tetapi analisis wajah tidak dapat mengenalpasti identiti dua lelaki dalam rakaman yang disebarkan melalui aplikasi sembang WhatsApp itu.

Seorang bekas pemimpin muda PKR Haziq Abdullah Abdul Aziz tampil mengaku sebagai salah seorang individu dalam rakaman itu dan menuduh Azmin sebagai pasangan dalam video tersebut.

Mungkin Azmin kecewa kerana ada pihak dalam parti yang mahu beliau kehilangan kuasa selepas gagal menentangnya dalam pemilihan parti tahun lalu.

Namun, beliau bertanggungjawab ke atas parti, terutama kepada individu yang membolehkan beliau berkuasa selama ini.

Realitinya, Azmin menjadi menteri kerana kedudukan parti dan sokongan ahlinya. Ia tidak akan memberi sebarang keuntungan jika beliau terus menerus tuang mesyuarat parti dan hanya menumpukan kepada tugas kerajaan.

Dr Mahathir boleh melakukan kedua-dua tugas. Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga begitu, sama seperti Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu – kesemuanya pemimpin parti masing-masing.

Azmin perlu menunjukkan beliau bukan hanya seorang kerani di Putrajaya tetapi seorang pemimpin kepada semua.

Kita tidak perlu dengar lagi dakwaan mengenai usaha untuk menggulingkan beliau dan juga mengenai perangainya sekarang kerana ia boleh mengganggu kerajaan.

Malaysia perlukan orang dewasa untuk memimpin negara – yang boleh memikul tanggungjawab dan menunaikan janji, bukan orang yang suka merajuk. – 29 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen