MENTERI Pendidikan Maszlee Malik enggan mengulas sekiranya kerajaan akan melaksana dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Ketika ditanya dalam satu sidang media hari ini, Maszlee mengelak menjawab soalan tersebut namun menegaskan pelajar sekolah perlu mahir Bahasa Inggeris untuk mendepani Revolusi Industri (IR) 4.0.
Katanya, melalui penggunaan Bahasa Inggeris dalam bidang Sains dan sebagainya, ia mampu mempersiapkan pelajar untuk sektor pekerjaan yang akan wujud pada masa hadapan.
“Di era IR4.0 ini, kurikulum kita mesti menjurus kepada IR4.0, kita perlu akui bahasa teknologi IR4.0 adalah berasaskan Bahasa Inggeris, Sains, robotik, pengekodan, semuanya berteraskan Bahasa Inggeris.
“Kalau nak kuasai segmen itu kita memerlukan Bahasa Inggeris,” kata Maszlee dalam sidang media selepas melancarkan laporan tahunan 2018 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau menekankan laporan itu mendapati kadar lulus Bahasa Inggeris di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia menurun 0.7% tahun tahun lalu daripada 79.1% pada 2017.
Selain itu, jumlah guru pelatih meraih pencapaian tinggi dalam SPM yangg masuk ke Institut Latihan Guru juga menurun, katanya.
“Walaupun perhatian dan pelaburan besar diberikan terhadap Inisiatif Peningkatan Bahasa Inggeris serta tumpuan khusus diberikan kementerian terhadap usaha ini pencapaian kadar lulus bahasa Inggeris peringkat SPM telah menurun.
“Walaupun sasaran kita hanyalah untuk mengambil guru terbaik ke dalam Institut Latihan Guru, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, guru pelatih dalam kalangan murid berpencapaian tinggi SPM menurun secara konsisten,” kata Maszlee, dalam ucapannya.
Pelaksanaan PPSMI masih lagi kontroversi kerana ditentang oleh aktivis bahasa dan para sasterawan negara yang melihat dasar itu menghina martabat Bahasa Melayu.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 16 Julai lalu mengumumkan kerajaan akan mengkaji pelaksanaan semula dasar itu dengan menggunakan sistem baharu.
Timbalan Maszlee, Teo Nie Ching pula pada 19 Julai mengumumkan kerajaan masih lagi mendapatkan maklum balas untuk melaksanakan semula dasar itu.
Dasar PPSMI yang diperkenal pada 2003 digantikan dengan dasar baharu untuk memperkasa Bahasa Melayu dan mengukuhkan Bahasa Inggeris secara berperingkat bermula 2010. – 29 Julai, 2019.
Komen