Desak kemerdekaan, pemimpin Catalonia ingkar titah Raja Sepanyol


Seorang wanita Catalonia membalut badannya dengan bendera prokemerdekaan sambil mendengar ucapan Raja Felipe VI disiarkan di televisyen. – Gambar AFP, 4 Oktober, 2017.

SUASANA di Sepanyol semakin tegang selepas pemimpin Catalonia berikrar yang wilayah itu akan mengisytiharkan kemerdekaan dalam beberapa hari, mengingkari amaran keras daripada raja negara itu bahawa kestabilan negara dalam bahaya.

Sementara itu, mahkamah meletakkan pegawai polis Catalonia dan pemimpin prokemerdekaan di bawah siasatan atas tuduhan menghasut ketika Sepanyol menghadapi krisis politik terburuk dalam tempoh beberapa dekad.

Raja Felipe VI melabelkan gerakan kemerdekaan itu sebagai tidak sah dan tidak demokratik, kerana membelakangkan kerajaan negara.

Tetapi pemimpin Catalonia tidak peduli, berang dengan tindakan kekerasan dilakukan polis terhadap pengundi ketika referendum kemerdekaan dijalankan pada Ahad di mana ia diharamkan oleh Madrid dan mahkamah.

Kerajaan Catalonia akan bertindak pada hujung minggu ini atau awal minggu depan untuk mengisytiharkan kemerdekaan, kata pemimpinnya Carles Puigdemont dalam satu temu bual dengan BBC.

Jurucakap kerajaan Catalonia Jordi Turull berkata pihaknya sudah hampir siap mengira undi dan keputusannya akan diserahkan kepada parlimen wilayah yang mempunyai dua hari untuk mengisytiharkan kemerdekaan Catalonia. – AFP, 4 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen