Sembelih di masjid untuk korban sahaja, kata exco Johor


Mohd Farhan Darwis

Penyembelihan binatang di kawasan masjid dan surau di Johor hanya dibenarkan bagi ibadah korban mengikut syarat ditetapkan, kata exco hal ehwal agama Thosrin Jarvanthi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2019.

PENYEMBELIHAN binatang di kawasan masjid dan surau di Johor hanya dibenarkan bagi ibadah korban mengikut syarat ditetapkan, kata exco hal ehwal agama Thosrin Jarvanthi.

Katanya, selain sembelihan korban sempena sambutan Aidiladha itu, penyembelihan binatang dilarang dilakukan di dalam kawasan masjid atas faktor kesihatan dan kebersihan.

“Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) tidak melarang mana-mana ibadah korban dilakukan dalam kawasan masjid dan surau di Johor, dengan syarat yang akan dikeluarkan urus setia Jabatan Agama Negeri Johor (Jainj) dan pejabat kadi daerah,” katanya.

Tegas Thosrin, penyembelihan binatang untuk sambutan lain seperti Maulidur Rasul wajib dilakukan di luar kawasan masjid dan surau.

Dengan itu, masjid dengan tempat sembelihan khas boleh melakukannya di kawasan tersebut dan masjid tanpa kawasan sembelihan pula perlu menjalankannya ibadah itu mengikut syarat, katanya.

“Bagi masjid dan surau yang tidak memiliki tempat penyembelihan khusus hendaklah ikut syarat dibenarkan dengan syarat menjaga kebersihan dan  keselesaan jemaah,” katanya.

Garis panduan yang akan dikeluarkan itu akan memastikan kebersihan masjid dijaga bagi memelihara imej rumah ibadat tersebut sebagai kawasan selesa dan disenangi masyarakat.

Sidang medianya hari ini menjawab satu dokumen didakwa pekeliling kerajaan negeri yang melarang ibadah korban dilakukan di seluruh kawasan masjid dan surau di negeri itu.

Pekeliling tersebut yang tular di media sosial antara lain menyebut amalan menyembelih binatang untuk hari raya korban itu tidak dibenarkan sama sekali di semua masjid.

“Pekeliling ini hanya untuk ibadah korban, bukan pada majlis lain. (Sembelih binatang pada) hari lain di luar kawasan masjid, kebenaran ini hanya untuk ibadah korban sahaja,” kata Thosrin lagi

Dalam sidang media di Johor hari ini, Thosrin menjelaskan bahawa larangan itu bertujuan untuk menjaga kebersihan masjid dan bukan menyekat amalan ibadah.

“Ia ibadah yang menjadi amalan turun-temurun. Kita lebih melihat kepada menjaga kesucian dan kebersihan masjid dan surau, kita tak mahu kawasan masjid tercemar, berbau busuk dan sebagainya,” katanya.

Thosrin juga berkata kerajaan negeri menganggarkan lebih 6,000 ekor haiwan akan dikorbankan di 2,783 masjid dan 1,950 surau di Johor pada sambutan Aidiladha pada 11 Ogos depan. – 29 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen