.jpg)
MINGGU lepas saya diundang untuk melakukan perbincangan tentang kandungan yang ada di Internet, terutamanya yang ada di media sosial.
Usai program tersebut, saya pulang menaiki LRT dan melihat sebuah papan tanda dengan ungkapan – bahasa jiwa bangsa.
Ungkapan ini mengingatkan saya tentang perbincangan yang berlaku ketika saya mengendalikan program yang menghimpunkan pemimpin parti politik dan beberapa wakil mahasiswa.
Keadaan yang saya boleh sebutkan – bahasa bangsa yang sudah tidak berjiwa. Persoalan Melayu adalah hal yang tidak boleh disentuh kerana boleh menyebabkan keris berterbangan ke arah kita, tapi apa guna keris tajam kalau bahasa sendiri diludah?
Mencarut, pandir, pantang dicabar tapi kosong
Saya sering memerhatikan komentar pengguna Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di beberapa platform media sosial yang terkenal. Apa yang saya perhatikan – komentar netizen yang berbahasa Malaysia selalunya tidak setajam keris yang diasah jika Melayu diganggu.
Komentar berbau kelucahan melampau, tuduhan tidak berasas dan bergaduh tak ke sudah adalah hal rutin dalam ruangan komen. Berbeza dengan komentar pengguna yang berbahasa Inggeris, mereka lebih tenang dan rasional.
Jika inilah bahasa bangsa yang bangga dengan keagungan sejarahnya, ke mana ‘jiwa’ bangsaku telah hilang? Siapa yang mencurinya?
Barangkali pemikiran orang-orang istimewa ini telah dimampatkan dengan perihal politik sentimen dan kebencian melampau terhadap sesuatu kumpulan, sehingga jarinya bebas menari untuk memaki sesiapa sahaja yang difikirnya tidak sealiran.
Kombinasi kebencian fanatik dan malas membaca adalah formula untuk melahirkan individu yang ekstrem, dan ia berbahaya.
Cuma kelakuan mencarut kosong perlu dibezakan dengan ‘kurang ajar bertempat’. Sifat kurang ajar sepatutnya seperti garam dalam masakan, ia perlu ada, tapi ia tidak boleh mendominasi keseluruhan masakan.
Sifat ‘kurang ajar’ Melayu sepatutnya diulit dengan fakta dan hujah yang konkrit. Sifat kurang ajar cumalah cara terakhir setelah sesi berbalas pantun tidak diendahkan, maka barulah ‘penampar’ akan diberikan.
Bahasa Melayu lebih tajam daripada keris, malah ia beracun
Sejak era Malaysia yang dikatakan baharu, ada beberapa ‘pendeta’ bahasa juga menjadi baharu. Pendeta bahasa ini dahulunya menggunakan bahasa seperti cili, setiap kali pemerintah membacanya, mereka segera mencari air kerana kepedasan.
Era Malaysia baharu, mereka mula menggunakan bahasa sebagai batu bata. Mereka menyusun rapi batu-bata itu supaya ia cukup kukuh dan tinggi, dan akan berdiri di atasnya.
Mereka berkias-kias untuk berhias-hias di kemudian hari – mereka mungkin tidak mencarut seperti netizen, walaupun bahasa mereka seperti kamus, tapi jiwanya juga sudah hilang.
Kita harus mula mencari jiwa yang hilang, kita harus mengajarkan generasi hari ini untuk tidak malu untuk berbahasa Melayu.
Terutamanya diskusi-diskusi ilmiah yang selalu dijalankan dalam bahasa Inggeris, saya agak terganggu dengan acara-acara seperti ini, lebih-lebih lagi kalau ia melibatkan jemputan lokal.
Orang-orang di desa ramai yang tak mengerti bahasa Inggeris, mengapa isu-isu mereka sering dibincangkan dalam bahasa asing?
Penggunaan bahasa Malaysia sebagai platform perkongsian akan memudahkan orang-orang desa atau kurang berpelajaran untuk mengikuti perbincangan. Ilmu bukan untuk elitis sahaja bukan?
Kalaulah kita mula menggunakan Bahasa Malaysia yang betul dalam member komentar di media sosial, tentu ia akan menghiburkan.
Bahasa Melayu ada kelazatannya yang tersendiri, tapi ia melihat keadaan yang ada pada hari ini, ambisi itu seolah-olah hampir mustahil.
Memperkasakan Bahasa Malaysia, tidak bermaksud anti bahasa asing
Ramai yang salah faham, mereka fikir apabila ada kumpulan yang mendesak agar kerajaan memperkasakan Bahasa Malaysia, ia bermaksud bahasa asing tidak boleh diajarkan. Ia adalah stigma yang salah.
Oleh kerana penterjemahan buku di Malaysia tidak sederas Indonesia, maka keperluan untuk mengetahui bahasa asing seperti bahasa Inggeris amat penting.
Namun, harus diingat ia adalah bahasa kedua, bukan utama. Tahniah bagi mereka yang menggunakan bahasa Malaysia yang betul, anda memiliki senjata yang lebih tajam dari keris. – 29 Julai, 2019.
* Rahman Imuda adalah bekas aktivis mahasiswa.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen