ANCAMAN najis dadah di negara ini sudah mencapai tahap berbahaya malah Malaysia bakal mengikut jejak Colombia jika tidak dikekang, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Katanya lagi, ada anggota polis sendiri yang menagih syabu dengan tangkapan dibuat setiap minggu.
Bercakap di Pusat Latihan Polis Cheras, Hamid mendedahkan unit narkotik polis akan memperhebatkan serbuan ke atas makmal dadah dalam tempoh beberapa minggu akan datang dalam usaha melumpuhkan sindiket dadah.
“Sejak dua bulan lepas, polis sudah menyerbu sindiket judi, tempat maksiat dan pengedar dadah.
“Masalah dadah di negara ini sudah capai tahap berbahaya. Kita boleh jadi Colombia jika tak berusaha menghapuskan fenomena ini.
“Setiap minggu, kita tahan anggota polis. Orang saya sendiri khayal kerana syabu. Begitulah seriusnya masalah ini. Dalam beberapa minggu lagi, (unit) narkotik akan memburu ahli kimia, makmal dan sindiket dadah di negara ini,” katanya.
Sejak Januari lepas, polis sudah menahan sekurang-kurangnya 30 anggota mereka kerana salah guna dadah ketika bertugas.
Hamid sebelum itu sekali lagi meluahkan kekecewaan kerana terpaksa membuang masa menyiasat skandal video seks didakwa melibatkan seorang menteri Kabinet.
“Kita bekerja keras untuk hapuskan jenayah tetapi pada masa sama kami dibebankan dengan kes tak perlu. Saya berterima kasih kepada media hari ini kerana tidak bertanya tentang kes itu. Jangan buang masa,” tambahnya.
Beliau merujuk kepada skandal video seks dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali. – 29 Julai, 2019.
Komen