Mongolia lantik perdana menteri baharu


MONGOLIA melantik perdana menteri baharu hari ini, beberapa minggu selepas pemimpinnya terdahulu dan kabinetnya digulingkan susulan tuduhan rasuah.

Ukhnaagiin Khurelsukh – bekas timbalan perdana menteri yang terkenal dengan imej macho, bergambar tanpa baju gaya Putin dengan senapang memburu – dipilih oleh Parti Rakyat Mongolia (MPP), parti pemerintah yang mengambil alih kuasa selepas kemenangan pilihan raya setahun lalu.

Dalam ucapannya selepas kemenangan itu, Khurelsukh berjanji untuk mempertingkatkan kehidupan rakyat, mengisytiharkan disiplin dan undang-undang, memerangi rasuah dan menghukum mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Kabinet saya akan mengisytiharkan keadilan sekali lagi. Jangan datang kepada saya dengan perbuatan haram. Begitu juga ahli kabinet saya dan jangan desak kami untuk bertindak secara tidak sah,” katanya.

Bekas perdana menteri Jargaltulgiin Erdenebat diundi keluar pada September oleh wakil rakyat yang mendakwanya memberikan 800 bilion tugrik (AS$328 juta) dalam bentuk konsesi kepada lapan syarikat yang ada kaitan dengan menteri kabinetnya.

Erdenebat juga didakwa menyediakan elaun tunai secara haram kepada pengundi dan memberikan imej buruk kepada rakyat – tuduhan yang dinafikan sekeras-keras olehnya.

Khurelsukh, 49, memulakan kerjayanya dalam tentera dan menyertai Parlimen sebagai ahli MPP pada 2000.

Selain daripada koleksi gambarnya yang diinspirasikan daripada Presiden Rusia Vladimir Putin, bulan lalu beliau mendapat nama gelaran “Fist” selepas video beliau menumbuk seorang ahli Parlimen pada 2012 menjadi viral di media sosial. – AFP, 4 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen