PEGUAM Najib Razak hari ini akan menerima secara rasmi transkrip komunikasi daripada peranti dirampas Bank Negara dalam serbuan ke atas cawangan AmBank di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur pada 6 Julai 2015.
Dokumen itu termasuklah log perbualan daripada BlackBerry milik bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu, yang hubungannya dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho jadi tumpuan perbicaraan kes SRC International minggu lepas.
Hari ini, pendakwa raya akan memanggil semula Shuzairizman Shuib, penganalisis digital di Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan Bank Negara yang sebelum ini sudah memberikan keterangannya.
Pegawai bank pusat itu secara rasminya akan menyerahkan ratusan muka surat dokumen yang sebelum ini tidak diserahkan sebagai bukti.
Salinan dokumen itu bagaimanapun sudah diserahkan kepada pasukan pembelaan Najib untuk membolehkan mereka bersiap sedia dalam soal balas ke atas Yu, yang dijangka dipanggil sekali lagi hari ini, hari kelima beliau memberi keterangan.
Khamis lepas, Yu disoal tentang hubungannya dengan Low. Walaupun kerap menghubungi Low, beliau menafikan melaksanakan arahan melebihi yang ditetapkan skop kerjanya.
Beliau juga ditanya tentang teks perbualan dengan pemegang mandat akaun Najib, bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil serta gelaran “boss” diberikan Yu kepada Low.
Yu, saksi ke-54 pendakwaan bagaimanapun bertegas yang beliau tidak pernah melaksanakan transasksi diarahkan Low atau Nik Faisal.

Beliau juga menerima teks mesej daripada Low pada 3 Mac 2015 mengarahkannya memadamkan semua log perbualan dalam BlackBerry miliknya, tetapi tidak berbuat demikian, kerana menurutnya beliau tidak tahu hendak memadamkannya.
Yu memberitahu mahkamah beliau mengenali Low pada 2008, sebelum 1MDB dibentuk. Low ketika itu cuba menjana dana untuk syarikatnya, Majestic Masterpiece Sdn Bhd.
Dalam tempoh itu, beliau juga berjumpa Nik Faisal yang sedang menguruskan urus niaga pengambil alihan Utama Banking Group Bhd (UGB) milik Majestic Masterpiece oleh PetroSaudi International Ltd.
Low dilantik sebagai penasihat khas Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA), dana kekayaan negeri yang diambil alih oleh Menteri Kewangan (Diperbadanankan) pada 2009 sebelum dijenamakan semula sebagai 1MDB, katanya kepada mahkamah.
Yu juga menafikan beliau menyerahkan maklumat kepada wartawan Wall Street Journal, Tom Wright dan Bradley Hope yang menulis siri rencana mendedahkan penyelewengan dana awam daripada 1MDB.
Yu juga memberi keterangan yang beliau tidak pernah bersubahat dengan Low untuk menipu jutaan ringgit milik SRC International.
Pasukan pembelaan sebelum ini mencadangkan yang Yu bekerjasama dengan Low, dengan bantuan beberapa orang eksekutif kanan SRC International untuk menyeleweng dana syarikat berkaitan kerajaan.
Tuduhan Najib dikaitkan dengan pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada SRC International dan dituduh menerima RM42 juta dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.
Najib menghadapi tiga tuduhan jenayah pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kuasa.
Najib, 66, diwakili oleh sekumpulan peguam yang diketuai oleh Shafee manakala Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pasukan pendakwaan.

The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:
5.19pm: Perbicaraan ditangguhkan hari ini dan akan bersambung pada Rabu.
5.14pm: Peguam bela meneruskan pemeriksaan log perbualan antara Yu dan Low.
4.53pm: Harvinderjit mencadangkan bahawa berdasarkan perbualan, terdapat banyak contoh yang mana cek dikeluarkan tanpa dana yang cukup dalam akaun Najib. Yu bersetuju dengan cadangan Low terlibat secara langsung dengan dana yang ditambah semula.
4.51pm: Harvinderjit mencadangkan semua pihak termasuk Nik Faisal, bertindak berdasarkan arahan Low. Beliau bangkitkan perbualan dengan Nik Faisal yang mana Yu memberitahunya bahawa RM3.5 juta diperlukan dalam akaun itu. Nik Faisal menjawab, “Tolong maklumkan kepada seseorang”. Harvinderjit mencadangkan “seseorang itu” adalah Low.
4.29pm: Harvinderjit mencadangkan Low memberi arahan mengenai akaun, dan Nik Faisal hanya menandatanganinya. Yu berkata adakalanya ini yang berlaku.
Beliau berkata, beliau sendiri tidak pasti sekiranya Nik Faisal mengikut arahan Low.
Beliau mengulangi bahawa hanya Nik Faisal yang boleh menandatangani arahan kerana beliau merupakan pemegang amanah akaun berkenaan.
4.21pm: Mahkamah bersambung selepas berehat seketika, dengan Harvinderjit meneruskan pemeriksaan balas terhadap Yu.
Beliau kini menyampaikan surat yang mana Nik Faisal telah dijadikan pemegang amanah untuk akaun Najib.
3.55pm: Harvinderjit bertanya Yu mengenai tandatangan Najib. Beliau bertanya sama ada Yu menyedari bahawa Low dan sekutunya menggunakan e-tandatangan. Harvinderjit mencadangkan beliau tidak pernah menerima sebarang salinan asal dokumen yang ada tandatangan Najib yang sebenar. Yu bersetuju.
Beliau juga memberitahunya bahawa dalam dokumen ini, nama Nik Faisal ditambah menggunakan pen. Yu bersetuju.
Harvinderjit mengatakan bahawa seseorang tidak boleh menolak kemungkinan surat yang ditandatangani oleh orang lain atau Najib menandatanganinya tanpa nama Nik Faisal pada dokumen itu.
3.27pm: Harvinderjit mencadangkan, Low memberitahu Yu bahawa tiga akaun baharu dibuka atas nama Najib untuk derma politik dan Yayasan.
Beliau berkata tidak ingat.
Harvinderjit mencadangan apabila tiga akaun itu dibuka, Yu menyediakan borang buka akaun dan menghantarnya ke pejabat mereka. Borang itu kemudian dikembalikan dengan tandatangan.
Yu berkata ada kemungkinan ia memang berlaku, namun beliau tidak mengingatinya.
3.21pm: Harvinderjit berkata kira-kira AS$681 juta didepositkan ke akaun Najib pada 2013 dari Tanore Finance Corp. Atas arahan, pemegang akaun Najib kembalikan AS$620 juta kepada Tanore Finance dan “akaun baharu”.
Yu bersetuju. Harvinderjit mencadangkan arahan ini datang dari Low. Yu tidak bersetuju kepada ini.
3.09pm: Harvinderjit memberitahu mahkamah Jho Low bertemu dengan Yu di restoran Kampachi, yang mana beliau menembah bilik khas. Pada pertemuan itu Yu menyerahkan buku cek untuk akaun terkini Najib kepada Low.
Beberapa hari selepas pertemuan itu, Yu menghantar mesej kepada Low untuk memberitahunya agar tidak menulis sebarang cek terlebih dahulu.
Low juga memberikan kembali buku cek lama kepadanya dengan arahan untuk beliau “musnahkan buku cek itu”. Joannay memberitahu mahkamah beliau tidak musnahkannya.
Harvinderjit: Mengapa kamu tidak maklumkan kepadanya kamu tidak boleh musnahkan buku cek itu?
Yu: Saya hanya mengikut prosedur bank. Menurut prosedur, kita tidak musnahkan buku cek.
2.47pm: Perbicaraan bersambung selepas makan tengah hari.
Harvinderjit memulakan dengan menyemak perbualan antara Yu dan Low.
12.10pm: Yu berkata AS$681 juta yang masuk ke dalam akaun Najib pada 2013 berasal dari Tanore Finance Corp, sebuah syarikat yang akan jadi tumpuan dalam perbicaraan akan datang melibatkan bekas perdana menteri itu dengan 1MDB.
Harvinderjit mencadangkan wang itu adalah derma, merujuk kepada surat sokongan bekas pengarah urusan AmBank Cheah Tek Kuang kepada bekas gabenor BNM Zeti Akhtar Aziz. Yu bersetuju.
11.33pm: Harvinderjit cuba mengesahkan sama ada transaksi itu datangnya dari Arab Saudi.
11.15pm: Pendakwa raya Sithambaram bertanyakan Hakim Nazlan sekiranya soalan pembelaan terhadap Yu relevan.
Harvinderjit membalas, soalan itu penting dan Nazlan membenarkan ia diteruskan.
10.35am: Perbicaraan disambung selepas berehat lima minit. Joanna Yu sekali lagi dipanggil beri keterangan. Peguam Najib menyoal Yu tentang pemindahan kredit akaun semasa Najib berakhir dengan nombor “694”.
10.07am: Saksi selesai beri keterangan dan dibenarkan keluar.
9.58am: Peguam Harvinderjit memulakan sesi soal balas ke atas saksi. Ranjit berkata anak guamnya berpandangan yang Najib menerima wang milik orang lain dan tidak layak jadi perdana menteri.

9.56am: Pendakwa raya V Sithambaram mencelah, memberitahu Nazlan yang Ranjit adalah saksi berkaitan dan pendakwaan juga akan menghantar hujah tentangnya.
9.55am: Peguam Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Hakim Nazlan Ghazali yang untuk tujuan “prima facie” saksi ini tidak relevan kerana peruntukan dalam Akta Keterangan dan pasukan pembelaan akan menghantar hujah mengenainya.
9.54am: Ranjit berkata Ling membatalkan tuntutan balasnya apabila Najib menarik balik saman itu.
9.52am: Dalam afidavit Najib berkaitan kes itu, beliau mengakui yang RM42 juta berasal daripada SRC International dimasukkan ke dalam akaun peribadinya tanpa pengetahuan menggunakan dua pihak ketiga.
9.46am: Kenyataan yang jadi tumpuan saman itu dikeluarkan sebuah portal berita pada 3 Oktober 2015. Laporan memetik kenyataan Ling terhadap Najib pada sebuah majlis di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman.
Dalam kenyataan dakwaan difailkan pada 27 Oktober 2015, Najib menuntut ganti rugi dan sekatan menghalang Ling daripada memberikan keterangan lanjut, menerbit atau menyebabkan fitnah diterbitkan terhadapnya. Najib juga meminta permohonan maaf daripada Ling untuk disiarkan dalam akhbar atau majalah ditentukan oleh bekas perdana menteri itu.
Bagaimanapun, Najib menarik balik saman tersebut tahun lepas.
9.42am: Ranjit Singh berkata anak guamnya jadi sasaran oleh Najib sehingga tindakan undang-undang diambil, walaupun ramai lagi ahli politik, termasuk Dr Mahathir Mohamad keluarkan kenyataan lebih buruk tentang Najib pada masa yang sama. Kerana itulah, Ling memfailkan saman balas, katanya.
9.32am: Beliau disoal tentang hujah pembelaan dan dakwaan balas dalam saman fitnah dibuat Najib terhadap Ling.
9.19am: Perbicaraan hari ini bermula dengan saksi ke-55 pendakwaan, Ranjit Singh Harvinder Singh, yang berkhidmat dengan bekas ahli politik Ling Liong Sik. – 29 Julai, 2019.
Komen