Pengundi baharu, muda bakal 'goncang' kerajaan Sarawak


Desmond Davidson

WALAUPUN Gabungan Parti Sarawak (GPS) mungkin akan menerima goncangan hebat daripada pengundi baharu dan muda pada pilihan raya negeri akan datang susulan pindaan Perlembagaan yang menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, ia belum cukup untuk menjatuhkan pengaruh gabungan politik pemerintah, kata pakar.

Hal ini diramalkan berlaku jika pindaan itu diwartakan bagi tujuan pelaksanaan ketika pilihan raya akan diadakan, yang dijangka selewat-lewatnya pada 2021.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata GPS akan digegarkan namun akan kekal berkuasa kerana ia menguasai 72 daripada 82 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri.

Beliau menambah GPS mempunyai daya tarikan di kalangan “majoriti pengundi muda”, terutamanya di kawasan Bumiputera Melayu-Islam dan bukan Islam.

Di kawasan begitu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mempunyai pengaruh yang kuat, kata Awang Azman.

PBB yang kini merupakan parti politik terbesar di Sarawak, memiliki 46 kerusi di Dewan Undangan Negeri.

“Goncangan” ini dijangka melibatkan sekurang-kurangnya 30% pengundi baharu dan muda yang tidak akan mengundi PBB di kerusi yang dipegangnya, dan ini mungkin di kawasan Bidayuh dan beberapa kawasan kaum Iban, katanya.

Komponen GPS lain mungkin terkesan dengan peratusan lebih tinggi daripada pengundi baharu dan muda yang memilih untuk tidak mengundi penyandangnya.

Awang Azman menganggarkan kesannya adalah 40% bagi 11 kerusi di bawah Parti Rakyat Sarawak (PRS) serta empat kerusi yang dipegang oleh Parti Demokrat Progresif (PDP).

Di kawasan bandar yang memiliki majoriti Cina di mana Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bergelut mencari pengaruh, beliau menjangka 70% pengundi baharu dan muda akan menolak GPS. – 29 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen