Umno-PAS tak akan jadi kerajaan ala Taliban, kata Zahid


SM Amin

Ahmad Zahid Hamidi menjawab tuduhan DAP bahawa gabungan PAS dan Umno akan menjadikan Malaysia seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kedua-dua parti membentuk kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2019.

UMNO tidak akan membentuk kerajaan ala Taliban dengan PAS sekiranya berjaya merampas Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang, kata presiden parti Melayu itu, Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata walaupun agenda kerjasama itu melibatkan perpaduan Melayu dan Islam, agenda terhadap kaum dan agama lain juga perlu diambil kira termasuk pribumi Sabah dan Sarawak.

“Sekiranya kerjasama Umno dan PAS ditakdirkan akan membentuk kerajaan negeri dan Persekutuan akan datang, kita tidak akan mengenepikan agama lain.

“Tidak akan ada kerajaan taliban dibentuk kerana kita akan mengambilkira pandangan parti-parti komponen lain termasuk parti Sabah Sarawak. Begitu juga dengan agama lain,” katanya. 

Beliau menjawab tuduhan DAP bahawa gabungan PAS dan Umno akan menjadikan Malaysia seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kedua-dua parti membentuk kerajaan.

Kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming itu mendapat kritikan dari pemimpin Melayu parti itu sendiri yang meminta agar isu politik dan agama tidak diulas keterlaluan.

Zahid seterusnya mendakwa kerajaan Pakatan Harapan hari ini terhasil daripada kejayaan DAP memecahkan Umno dan PAS yang membentuk Bersatu dan Amanah.

Namun Bersatu kini cuba bekerjasama dengan Umno dan PAS kerana dakwanya, hubungan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim kini bergolak.

“Sudah menjadi rahsia umum Anwar tidak akan menjadi perdana menteri kerana orang yang berjanji menafikan pernah berjanji. 

“Apabila ini sedang bergolak, kita dapat Bersatu berada dalam keadaan kerunsingan dan kerisauan. Mereka mula mengintai PAS dan Umno takut-takut Anwar melakukan kudeta,” dakwanya.

Beliau berucap ketika merasmikan mesyuarat Umno Parit Buntar di Sungai Nibong, hari ini. – 28 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen