Hentikan drama politik, tumpu bina negara


SEMENJAK kelmarin, saya dihujani pertanyaan pelbagai pihak tentang khabar angin mengatakan bahawa Azmin Ali akan meninggalkan parti dan menyertai wadah politik yang lain.

Amatlah malang bagi mereka yang mempercayai berita ini.

Azmin bukan sahaja sosok yang bersama menggalas beban seawal penubuhan parti, malahan beliau juga adalah tunjang penting yang menggerakkan parti ketika susah dan senang. Berkorban masa, wang ringgit dan keringat membina serta mengukuh kedudukan parti tatkala Anwar Ibrahim terpenjara.

Amat mustahil jika beliau meninggalkan bahtera ini ketika parti kini sedang di kemuncak kejayaan yang dibinanya bersama. Kesetiaan dan kasihnya pada PKR tidak boleh dipertikai lagi.

Hentikanlah fitnah yang mengatakan beliau akan keluar parti.

Justeru, saya hairan mengapa sejak beberapa hari lalu ada gerakan yang disusun bagi mendapatkan tandatangan pimpinan Cabang bagi menyatakan sokongan kepada Anwar. 

Soalnya untuk apa tandatangan ini dikumpul? Bukankah presiden parti tidak dicabar dalam pemilihan lalu? 

Sebagai anggota parti, tentulah pemilihan parti yang lalu jelas keputusannya. Maka apa justifikasi yang memerlukan tandatangan menyokong presiden ini?

Ia hanya menimbulkan persoalan yang mencerminkan ketidakstabilan kedudukan presiden.

Ingin saya ingatkan bahawa pihak yang menandatangani perakuan sokongan tersebut bukanlah sebenar-benarnya mendukung, tetapi mungkin didorong rasa terintimidasi dan dilakukan atas dasar terpaksa.

Sebagai presiden parti, arahan bagi menghentikan perkara ini perlu dilakukan segera. Ia hanya mengiyakan persepsi bahawa wujudnya fraksi dalam parti dan menambah perpecahan.

Cukuplah menghidangkan juadah politik partisan yang sudah muak dan mual dihadam oleh rakyat. 

Kita semua perlu menumpukan masa untuk menjalankan tugasan masing-masing. 

Janganlah lagi proses membina Malaysia Baru ini diganggu dengan aksi politik sebegini yang dilihat sekadar mahu dilihat relevan dan sentiasa menghiasi dada akhbar. – 26 Julai, 2019.

* Zuraida Kamaruddin adalah naib presiden PKR dan ketua Wanita Pakatan Harapan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen