Dituduh tiada kesungguhan ubah GLC, Anwar pertahankan Putrajaya


Sheridan Mahavera Lee Chi Leong

Anwar Ibrahim hari ini berkata tidak salah melantik politikus untuk menerajui GLC selagi mana mereka jujur dan berkemampuan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Julai, 2019.

ANWAR Ibrahim yang mempengerusikan Kaukus Parlimen bagi Pentabiran dan Reformasi mempertahankan Putrajaya daripada kecaman yang mendakwa ia gagal melaksanakan usaha pembaharuan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan mengulangi tabiat buruk rejim Barisan Nasional.

Anwar, yang dipersetujui parti komponen Pakatan Harapan untuk menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri turut mempertahankan lantikan politik dibuat Putrajaya untuk menerajui GLC, selagi mana mereka jujur dan berkemampuan.

Jelasnya lagi, tidak salah untuk perdana menteri mengetuai dana kekayaan negara Khazanah Nasional Berhad, walaupun PH dalam manifestonya berjanji akan membenarkan entiti sebegitu diuruskan profesional dan bukannya politikus.

“Bukan semua orang politik yang diletak tidak berwibawa ataupun korup, kalau dia layak dan berwibawa, kita pertimbangkanlah,” kata Anwar kepada wartawan selepas simposium ekonomi di Parlimen hari ini.

“Dasar PH itu jelas, dan kita tak pula bagi anggapan bahawa semua yang bukan politik itu tidak korup. Negara ni menyaksikan rasuah itu berlaku di kalangan orang politik, penjawat awam, sektor swasta.

“Jadi kita harus banteras (korupsi) ini tanpa mengira kedudukan mereka,” kata Anwar yang mengulas kecaman terhadap Putrajaya yang didakwa tidak menunaikan janji melaksanakan pembaharuan GLG.

Prof Edmund Terence Gomez dari Universiti Malaya hari ini berkata PH tidak ada kesungguhan politik untuk mengubah tadbir urus GLC diasaskan BN kerana mereka kini turut mendapat manfaatnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Julai, 2019.

Dalam Buku Harapan yang dikeluarkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lepas, PH berjanji untuk melakukan pembaharuan dalam GLC bagi menjadikan ia syarikat bertaraf dunia dan memastikan hanya golongan profesional dan tiada kaitan politik menerajuinya.

Bagaimanapun, pelantikan Dr Mahathir sebagai pengerusi Khazanah dan pemilihan politikus PH lain untuk mengetuai pelbagai GLC mengundang kecaman hebat.

Awal hari ini, pada simposium sama, Prof Edmund Terence Gomez dari Universiti Malaya berkata PH tidak ada kesungguhan politik untuk mengubah tadbir urus GLC diasaskan BN kerana mereka kini turut mendapat manfaatnya.

Anwar mengulas kritikan pakar ekonomi ternama itu berkata, beliau mengalu-alukan pandangan Gomez tetapi yakin dengan rekod pencapaian kerajaan menguruskan GLC selama ini.

“Saya ambil terima baik teguran Terence kerana dia memberikan kritikan dan dorongan supaya kita melakukan sesuatu yang lebih berkesan. Tetapi perubahan awal itu cukup baik. Sebab ada orang hujah, jangan kita tolak semua.”

Anwar juga menyokong keputusan Dr Mahathir menerajui Khazanah walaupun wujud kecaman yang ia adalah “hipokrasi politik”.

“Khazanah, Petronas adalah syarikat negara. Saya fikir untuk transisi ia boleh diterima. Rakyat tak anggap PM terlibat dalam aturan perniagaannya.” – 26 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen