KUMPULAN veteran PKR, Otai Reformis 1998 menggesa polis agar segera memuktamadkan siasatan berhubung rakaman video seks didakwa melibatkan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdul Aziz.
Timbalan Pengerusi Otai Reformis 1998 Mustapa Mansur berkata, kes yang didakwa melibatkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali itu berlarutan terlalu lama dan menimbulkan kegusaran rakyat.
Menurutnya, siasatan itu perlu dimuktamadkan kerana pengecaman wajah pelaku aksi seks dalam rakaman berkenaan dilaporkan negatif.
Jelasnya perkara itu menimbulkan kekeliruan kerana Haziq yang mendakwa sebagai pelaku dalam video berkenaan ditahan namun pasangan dalam rakaman itu masih bebas.
“Walaupun pengecaman wajah pelaku-pelakunya dilaporkan negatif, Haziq ditahan reman oleh pihak polis untuk siasatan sebaliknya pasangan intimnya dibiarkan bebas,” katanya.
Padahal, individu dalam rakaman itu masih boleh disiasat kerana melakukan hubungan seks luar tabii mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan, katanya.
“Otai merasa hairan dan kecewa mengapa individu yang disebut-sebut tidak dipanggil atau ditahan untuk siasatan oleh pihak polis,” katanya.

Haziq pada Mei lalu tampil mengaku sebagai pelaku dalam rakaman tersebut dan mendakwa seorang lagi individu dalam video berkenaan adalah Azmin.
Azmin bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai usaha untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Mustafa juga berkata kumpulan penyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim itu tidak menyalahkan polis, sebaliknya hanya mahu melihat pasukan itu terus dihormati.
“Kita bukan nak salahkan polis, bukan antipolis, kita ingin lihat integriti polis sampai ke tahap dihormati semua tanpa tafsiran berbeza.
“Pada pendapat kami sampai saat ini siasatan polis sudah baik. Bukan maksud kita polis tak ikut proses undang-undang, kita hanya mahu lebih jelas,” jelasnya.
Sementara itu Setiausaha Otai Reformis 1998 Abdul Razak Ismail dalam sidang media sama berkata perkembangan siasatan kes itu menyebabkan keupayaan polis dispersoalkan.
Jelasnya, keupayaan polis dipersoal kerana pasukan itu dapat menahan individu bertopeng dalam satu kes rompakan tetapi tidak menahan individu yang tidak bertopeng dalam kes video Haziq.

“Tak sampai dua hari, dalam keadaan perompak pakai sarung muka polis dapat tangkap, sedangkan gambar yang dipaparkan begitu kecil.
“Tapi dalam kes video ini gambar terang benderang siapa pelakunya,” dakwanya.
Beliau berkata, polis juga perlu menyiasat kes melakukan hubungan sejenis dalam video tersebut dan tidak sepatutnya hanya menumpukan terhadap penyebaran video.
“Kena ingat melakukan seks luar tabii juga satu kesalahn, kita bukan pertikaikan (siasatan polis) cuma nak tanya kenapa tak siasat mereka di bawah seksyen ini, kita minta polis jangan hanya fokus satu tempat,” katanya lagi.
Minggu lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengesahkan Cybersecurity Malaysia mendapati video itu tulen, tetapi proses pengecaman wajah gagal untuk mengaitkannya dengan Azmin.
Haziq dan Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak merupakan antara individu yang ditahan bagi siasatan, namun kedua-duanya sudah dibebaskan.– 26 Julai, 2019.
Komen