Pakatan bentuk jawatankuasa khas kaji janji pilihan raya


Sheridan Mahavera Lee Chi Leong

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata jawatankuasa untuk mengkaji janji pilihan raya sudah dibentuk oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Julai, 2019.

PAKATAN Harapan (PH) sudah menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji semula janji pilihan rayanya susulan kemarahan orang ramai terhadap ketidakmampuan parti pemerintah menunaikan semuanya, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Anwar berkata ia respons daripada gesaan dibuat oleh pemimpin PH dan veteran DAP, Lim Kit Siang, yang mengatakan sudah tiba masanya mereka menyemak semua janji pilihan raya dan mengakui kepada orang ramai bahawa ada janji yang mustahil dicapai.

Lim yang juga ahli Parlimen Iskandar Putri berkata dalam ucapannya di sebuah simposium ekonomi di bangunan Parlimen hari ini, adalah lebih baik bagi PH bersikap jujur ​​dan bukannya menyembunyikannya daripada orang ramai mengenai janji yang tidak dapat dicapai itu.

Susulan itu, Anwar memberitahu pemberita yang jawatankuasa untuk mengkaji janji ini sudah dibentuk oleh majlis presiden PH.

Anwar sebelum ini dalam ucapannya juga menyentuh mengenai cadangan Lim dan rasa tidak puas hati orang ramai dengan tindakan pemerintah berpaling daripada beberapa janji.

Janji yang terkandung dalam Buku Harapan, tidak dapat dipenuhi disebabkan masalah kewangan kerajaan sementara yang lain pula memerlukan pindaan Perlembagaan.

Ini termasuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman pendidikan tinggi dan memastikan jawatan penting dalam sektor awam tidak dipegang sepenuhnya oleh perdana menteri.

Dalam ucapannya, Anwar berkata harapan tinggi orang ramai terhadap PH berjaya menamatkan pemerintahan satu parti selama enam dekad di bawah Barisan Nasional.

“(Pilihan Raya Umum ke-14) adalah transformasi yang besar dan ia mencabar keupayaan kami dalam memenuhi semua janji ini kerana harapan rakyat sangat tinggi. Jika kerajaan tidak dapat memenuhi semua harapan ini dan tidak dapat memperkasakan rakyat, maka kita akan jatuh (dalam pilihan raya akan datang),” kata Anwar. – 26 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen