POLIS menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes pembuangan diesel ke Sungai Selangor, semalam yang menyebabkan pencemaran sehingga menjejaskan bekalan air di Lembah Klang awal minggu ini.
Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin berkata, dua lelaki itu masing-masing pekerja dan pengusaha pontun ditahan di pontun terbabit di Kuala Selangor.
Katanya, kedua-dua mereka yang berumur dalam lingkungan 30-an direman empat hari sehingga Ahad bagi membantu siasatan.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan (bagi kesalahan khianat).
“Setakat ini, kita juga sudah merekod keterangan lebih 10 individu,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Penutupan Seminar dan Latihan Ancaman Keganasan 2019 di Subang, Selangor hari ini.
Menurut Noor Azam, polis juga sedang bekerjasama dengan pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk tindakan lanjut.
Mengulas dakwaan ada sekumpulan pemancing dipercayai punca pencemaran Noor Azam berkata, dakwaan itu berdasarkan laporan polis yang pihaknya terima.
Katanya, dakwaan itu belum dapat dipastikan.
Selain itu, beliau turut menafikan wujud elemen gangsterime di kawasan pontun berkenaan.
“Mengikut siasatan kita, tiada elemen itu. Itu kawasan sungai dan tempat memancing yang dijaga oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela),” katanya.
Sebelum ini, kakitangan sebuah syarikat perlombongan milik kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) mengesahkan melihat beberapa individu membuang minyak diesel ke Sungai Selangor.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari sebelum itu berkata, pencemaran sungai itu ada unsur sabotaj kerana kebocoran diesel hanya boleh dilakukan secara manual.
Ia berikutan minyak terbabit dikesan memasuki aliran air dari sebuah pontun yang sudah tidak beroperasi sejak dua bulan lalu.
Ahad lepas, jutaan pengguna di Lembah Kelang terjejas bekalan air kerana Air Selangor menutup loji rawatan air yang tercemar. – 25 Julai, 2019.
Komen