SEORANG bekas jurubank Goldman Sachs yang mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah diharamkan daripada industri keselamatan kewangan Amerika Syarikat, lapor The Wall Street Journal.
Tim Leissner yang dahulunya bekerja di Singapura dikenakan pengharaman itu pada 11 September oleh Pihak Berkuasa Kawalan Industri Kewangan (Finra) kerana gagal menyerahkan dokumen dan maklumat lain yang berkaitan sebab dia meninggalkan Goldman Sachs pada awal 2016.
Leissner adalah pengerusi bank itu untuk rantau Asia Tenggara dan mengeluarkan surat tanpa tauliah bagi menyokong Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low, orang penting dalam siasatan Jabatan Kehakiman Negara AS (DoJ) berkaitan kehilangan berbilion dolar yang didakwa dicuri daripada dana pelaburan Malaysia, 1MDB.
Leissner digantung kerja oleh Goldman kerana penglibatannya dalam 1MDB serta peranannya dalam urus niaga perlombongan di Indonesia dan meninggalkan bank itu tahun lepas. Goldman menjana dana sebanyak AS$6.5 bilion untuk 1MDB dan memperolehi upah mencecah AS$600 juta.
Pada Jun 2015, Leissner menulis kepada Banque Havilland, sebuah bank persendirian kecil di Luxemborg menyokong Low yang mahu membuka akaun di sana, kata WSJ.
DoJ melancarkan siasatan jenayah ke atas dana didakwa dirompak daripada 1MDB dan cuba menangguhkan saman sivil yang difailkan sejak dua tahun lepas untuk merampas aset hartanah dan aset-aset lain mencecah nilai AS$1 bilion (RM4.3 bilion).
Dalam saman sivil itu, DoJ mendakwa antara 2009 dan 2015, lebih daripada AS$4.5 bilion milik 1MDB dipindahkan kepada pegawai atasan syarikat itu dan sekutu mereka.
Pada Jun lalu, DoJ memfailkan sebuah lagi saman untuk merampas aset bernilai AS$540 juta termasuklah kapal layar Equanimity berharga AS$165 juta milik Jho dan hak filem Dum and Dumber To. – 4 Oktober, 2017.
Komen