KIRA-KIRA 300,000 orang rakyat Catalonia berkumpul hari ini dalam keadaan kemarahan terhadap polis yang bertindak ganas kepada pengundi semasa referendum kemerdekaan yang diharamkan, ketika Madrid menuduh pihak berkuasa wilayah sebagai “menghasut pemberontakan”.
Para penunjuk perasaan termasuk pelajar memenuhi jalan di sekitar ibu kota Barcelona sambil mengibarkan bendera Catalonia berwarna merah dan kuning
“Ditutup untuk revolusi,” tulis satu daripada kain rentang yang dibawa orang ramai.
Kelab bola sepak Barcelona enggan berlatih sebagai sebahagian daripada mogok, yang menurut pegawai turut memperlahankan pengangkutan awam dan perkapalan di pelabuhan Barcelona.
“Pada 1 Oktober kita menjadi negara yang diduduki, dan mereka masih belum meninggalkannya,” kata seorang penunjuk perasaan di Barcelona, guru sekolah berusia 56 tahun, Antonia Maria Maura, merujuk kepada pihak polis yang dihantar untuk menghalang pengundian pada Ahad.
Gambar-gambar polis membelasah pengundi rakyat Catalonia yang tidak bersenjata dengan baton dan menyeret rambut beberapa orang daripadanya semasa hari mengundi pada Ahad menerima kritikan antarabangsa.
Jurucakap Suruhanjaya Eropah Margaritis Schinas memberi amaran semalam bahawa “keganasan tidak boleh menjadi instrumen dalam politik”.
Bagaimanapun ketegangan meningkat semalaman apabila Catalonia menentang ikrar kerajaan Sepanyol untuk terus memastikan Catalonia menjadi salah satu wilayahnya.
Para penunjuk perasaan mengepung hotel di Catalonia di mana pasukan keselamatan negeri menginap, kata kumpulan polis.
“Mereka melarikan diri dari hotel ke hotel, mereka seperti tikus yang perlu bersembunyi,” kata jurucakap penyokong bagi polis Sepanyol SUP, Ramon Cosio.
Beliau memberi amaran kerajaan kehilangan kawalan keselamatan.
Sekurang-kurangnya satu hotel berkata terpaksa meminta pihak polis yang menginap di situ pergi. – AFP, 3 Oktober, 2017.
Komen