PENGANJUR perhimpunan Hari Sarawak di Kuching hari ini mendakwa mereka diganggu dan ditakut-takutkan oleh satu gerakan selepas tiga daripada mereka dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis berkenaan perhimpunan yang diadakan di Padang Merdeka kelmarin.
Presiden Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (Sapa) Dominique Ng ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching berkata terdapat segelintir pihak yang tidak berpuas hati telah menggunakan polis untuk menakut-nakutkan penganjur perhimpunan.
Ng dan dua lagi ahli jawatankuasa Sapa yang membantu pengajuran perhimpunan pada Isnin lepas dipanggil untuk memberi keterangan petang tadi selepas satu laporan dibuat terhadap mereka kerana menganjurkan perhimpunan haram.
“Saya tahu (siapa yang lapor),” kata Ng.
Bekas ahli PKR itu berkata gangguan makin menjadi-jadi sejak Pakatan Harapan (PH) memegang kuasa tahun lalu.
“Sekarang ada banyak perubahan undang-undang dan saya dipanggil dua kali untuk beri kenyataan mengenai perhimpunan yang saya sudah dapatkan permit.”
Kali pertama Ng dipanggil ialah pada April selepas beliau menganjurkan perhimpunan untuk menyokong rang undang-undang pindaan Perlembagaan Persekutuan mengembalikan status Sabah dan Sarawak di lokasi yang sama.
Hari ini, beliau dipanggil sekali lagi berkenaan perhimpunan yang diadakan kelmarin.
Walaupun perhimpunan itu mendapat permit yang diperlukan, seorang polis tetap memfailkan laporan, katanya. – 24 Julai, 2019.
Komen