PEMILIK projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Malaysia Rail Link Sdn Bhd kini melaporkan kepada Kementerian Pengangkutan dan tidak lagi kepada Kementerian Kewangan sejak Mei, menurut sumber.
Ini dibuat sebulan selepas projek ECRL disambung semula oleh kerajaan pada April.
“MRL lapor kepada kementerian pengangkutan sejak ia diwartakan di bawah warta kerajaan persekutuan pada 14 Mei,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
“MRL sebelum ini lapor kepada Kementerian Kewangan.”
Menurut Warta Kerajaan Persekutuan, MRL kini adalah di bawah Kementerian Pengangkutan.
Bagaimanapun, Kementerian Kewangan Diperbadankan masih kekal sebagai pemilik MRL.
Terdapat lebih 150 syarikat di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan Diperbadankan.
Projek ECRL ditangguhkan pada Julai tahun lalu namun disambung semula pada April selepas pengurangan kos daripada RM22 bilion kepada RM44 bilion.
Pada April, Putrajaya mengumumkan perjanjian baharu dengan China mengenai ECRL, yang melibatkan perjanjian tambahan antara MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) selepas beberapa bulan rundingan diadakan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke dijangka akan melancarkan semula projek berkenaan di Dungun, Terengganu esok.
Jajaran baru projek berkenaan menyaksikan ia dipendekkan lebih 48 kilometer kepada 640 kilometer dan pembinaan beberapa stesen pada pelan asal turut dibatalkan.
ECRL akan menghubungkan Kota Bharu di Kelantan ke Pelabuhan Klang di Selangor dan ia termasuk 20 stesen di lima negeri berbanding empat sebelum ini.
Daripada jumlah itu, 14 akan menjadi stesen penumpang, lima lagi menggabungkan antara stesen penumpang dan muatan, dan satu lagi hanya stesen muatan.
Tarikh siap projek berkenaan juga dilanjutkan ke 31 Disember, 2026 berbanding tarikh permulaannya pada 30 Jun, 2024. – 24 Julai, 2019.
Komen