UMNO akan melancarkan tabung kutipan dana bagi menampung kos pengurusan parti, aktiviti politik dan juga sebagai persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid berkata Umno ketika ini berdepan dengan kekangan kewangan yang kritikal susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun parti sejak setahun yang lalu.
“Majlis Tertinggi (MT) Umno akan melancarkan Tabung Dana Umno bagi pembiayaan pengurusan dan aktiviti Umno.
“Kami akan lancarkan dalam waktu terdekat supaya kelangsungan aktiviti politik dapat dilaksanakan.
“Ini pertama kali kutipan dana ditubuhkan kerana kekangan terbesar dari segi pembiayaan,” katanya selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibu pejabat Umno, di Kuala Lumpur hari ini.
Akaun Umno Pusat antara 900 akaun yang dibekukan oleh SPRM kerana didakwa mempunyai kaitan dengan siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Jun lalu, SPRM telah memfailkan permohonan melucut hak di bawah Seksyen 56 Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 terhadap 41 responden termasuk Umno Selangor, Pahang, Kedah, Johor, Sabah dan Kelantan yang didakwa antara penerima wang berjumlah lebih RM270 juta itu.
Menurut Zahid, sebuah badan profesional akan dilantik bagi menguruskan dana tersebut secara bersama.
“Tiada sebarang sasaran ditetapkan. Kita harap dapat dana sebanyak mungkin. Tabung harus dilancarkan bukan hanya dikalangan ahli Umno, tetapi saya yakin ramai yang simpati dengan Umno,” katanya.
Masalah kewangan Umno bukan sahaja dihadapi oleh Umno pusat yang sebelum ini telah menstruktur semula syarikat-syarikat milik parti itu sebelum ini, malah ia turut memberi kesan kepada Umno di peringkat negeri dan juga Bahagian.
Antaranya Umno Bahagian Temerloh terpaksa menjual bangunan pejabatnya yang dibeli pada tahun 1999 untuk membiayai perbelanjaan pengurusan parti.
Umno Selangor pula sedang berusaha untuk menyewakan sepenuhnya bangunan 10 tingkat yang dimilikinya atas tujuan yang sama, mengurangkan kos operasi dengan berpindah ke bangunan yang hanya memerlukan kos yang kecil. – 24 Julai, 2019.
Komen