Petani di Thailand bimbang kerajaan kenakan cukai air


Petani di Thailand bimbang jika rang undang-undang diluluskan, cukai akan dikenakan ke atas air yang mereka gunakan untuk bertani sama ada daripada pengairan atau sumber asli. – Gambar EPA, 3 Oktober, 2017.

PARA petani di Thailand bimbang mereka akan dikenakan cukai air dalam draf rang undang-undang yang sedang diperhalusi Dewan Perundangan Kebangsaan (NLA).

Mereka mahu kerajaan menghentikan daripada mempertimbangkan dan menarik balik draf yang bakal membebankan mereka itu.

“Petani perlu segera melawat Perdana Menteri (Jen Prayuth Chan-o-cha) bagi mendesak agar draf rang undang-udang itu dihentikan. Jika tidak isu ini akan membawa kesan yang meluas,” kata Presiden Persatuan Petani Thai, Rawee Rungrueng kepada media.

Beliau berkata petani tidak perlu dikenakan cukai air kerana air untuk pertanian datang daripada hujan yang percuma.

Pengerusi Rangkaian Petani Pusat, Samien Hongton pula berkata sesetengah petani merancang untuk menentang draf terrsebut.

Petani bimbang sekiranya rang undang-undang itu diluluskan, cukai akan dikenakan ke atas air yang mereka gunakan untuk bertani sama ada daripada pengairan atau sumber asli.

Sementara itu Timbalan Pengerusi NLA, Peerasak Porjit menafikan petani kecil-kecilan akan dikenai cukai ke atas air yang mereka gunakan.

“Tiada kerajaan yang akan menaikkan perbelanjaan petani. Mereka hanya mengurangkannya,” katanya dan menambah cukai ke atas petani kecil berupa idea yang sukar dibayangkan dan beliau berjanji akan meletak jawatan sekiranya cukai air tetap dikenakan.

Draf rang undang-undang itu dijangka dibentangkan untuk mendapat persetujuan NLA bulan ini sebelum dikuatkuasakan bulan depan, susulan pengumuman rasmi dalam Warta  Diraja.

Timbalan Perdana Menteri Wissanu Krea-ngam turut berkata para petani berskala kecil tidak perlu bimbang kerana mereka tidak akan disasar cukai air.

Tiada sebab petani kecil perlu dipungut cukai air daripada mereka, katanya. – Bernama, 3 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen