PERBICARAAN kes SRC International melibatkan Najib Razak ditangguh hari ini kerana peguam bela kanannya tidak dapat hadir untuk menyambung sesi soal balas saksi terbaru pendakwaan.
Pagi ini, peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed memberitahu mahkamah yang Harvinderjit Singh, yang sepatutnya meneruskan sesi soal balas bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu jatuh sakit.
Manakala, seorang lagi peguam kanan Muhammad Shafee Abdullah perlu menghadiri perbicaraan kes lain, katanya kepada Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Pendakwa raya V Sithambaram memberitahu mahkamah yang beliau menerima panggilan daripada Harvinderjit pada jam 6.30 pagi tadi.
Tambahnya, “notis diberi terlalu singkat” untuk memanggil saksi dijadualkan hadir minggu depan pada hari ini. Bagaimanapun, beliau memberi jaminan kepada mahkamah yang kes pendakwaan akan dihabiskan seperti dijadual pada 16 Ogos.
“Mahkamah membenarkan penangguhan hari ini, memandangkan Tuan Harvey tidak dapat hadir,” kata Hakim Nazlan.
“Tetapi esok, pihak pembelaan perlu menyerahkan sijil cuti sakit. Perbicaraan perlu diteruskan esok, sama ada dapatkan peguam lain untuk teruskan bicara atau panggil saksi lain,” katanya, menambah yang 9 Ogos iaitu Jumaat ini ditetapkan sebagai hari ganti bicara.
Perbicaraan masuk hari ke-43 hari ini. Ini adalah permohonan pertama pembelaan untuk menangguhkan bicara dibenarkan.
“Kami tiada pilihan untuk meminta penangguhan,” kata Wan Aizuddin kepada The Malaysia Insight selepas mahkamah ditangguhkan.
Katanya, prosiding hari ini tidak akan menjejaskan kes: “Malah, pihak pendakwaan juga yakin mampu menghabiskan kes mereka sebelum 16 April.” – 24 Julai, 2019.
Komen