Saya diminta tinggalkan AmBank selepas serbuan Bank Negara, kata saksi


Timothy Achariam

Yu memberitahu mahkamah bahawa dia telah mengalami tekanan teruk selepas Bank Negara menyerbu cawangan AmBank Raja Chulan, di Kuala Lumpur untuk merampas dokumen yang berkaitan akaun Najib dan SRC International. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Julai, 2019.

BEKAS pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu diberitahu untuk meninggalkan bank itu pada tahun 2015 selepas ia didenda jutaan ringgit kerana gagal menjelaskan urus niaga mencurigakan melibatkan akaun peribadi bekas perdana menteri Najib Razak.

AmBank dikenakan denda sebanyak RM53.7 juta oleh Bank Negara Malaysia pada 23 November 2015, kerana tidak mematuhi peraturan perbankan.

Yu memberitahu mahkamah bahawa dia telah mengalami tekanan teruk selepas Bank Negara menyerbu cawangan AmBank Raja Chulan, di Kuala Lumpur untuk merampas dokumen yang berkaitan akaun Najib dan SRC International.

“Saya diminta tinggalkan (bank),” kata Yu ketika disoal balas oleh peguam bela Harvinderjit Singh.

Beliau bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan bahawa  hal itu adalah berikutan tekanan yang diterima bank tersebut ketika menjadi tajuk utama melibatkan skandal berprofil tinggi.

Yu berkata, rakan sejawatnya, Daniel Lee dan Krystale Yap juga turut meninggalkan bank tersebut. Ketiga-tiga mereka adalah sebahagian daripada lapan orang yang berada dalam jabatan perhubungan.

Ketika wanita itu menjelaskan bahawa dia kemudiannya merujuk AmBank ke mahkamah, peguam pendakwaan V. Sithambaram mengatakan dia tidak boleh mendedahkan maklumat mengenai kesnya kerana telah menandatangani perjanjian untuk tidak mendedahkannya.

Pegawai penyiasat kanan Bank Negara Ahmad Farhan Sharifuddin memberitahu mahkamah pada Mei bahawa AmBank gagal mengemukakan laporan transaksi mencurigakan (STR) mengenai lima akaun Najib antara 13 Januari 2011 dan 9 Mac 2015.

Harvinderjit turut menyoal Yu berhubung hubungannya dengan CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia Ung Su Ling, merujuk perbualan antara dua wanita yang merujuk seseorang yang dikenali sebagai “kawan kita”.

Yu mengatakan istilah “kawan kita” itu digunakan dalam perbualan-perbualan berhubung transaksi 1MDB sebagai rujukan umum dan ia juga digunakan untuk merujuk Low atau bekas pengarah kewangan 1MDB Terence Geh.

Yu kemudian disoal berkenaan kandungan sebuah kumpulan perbualan yang menunjukkan Low mengarahkan Ung untuk mengosongkan wang tunai dari akaun-akaun berhubung 1MDB. Yu turut mengesahkan bahawa da menerima e-mel yang dihantar oleh Low kepadanya dan beberapa orang lagi, Low juga turut memaklumkan mereka bahawa dia telah dilantik sebagai penasihat khas kepada Terengganu Investment Authority (TIA)

TIA adalah dana negara yang dibentuk pada 2008 yang kemudian diambil alih oleh Syarikat Kementerian Kewangan (Minister of Finance Inc) setahun selepas pembentukannya.

Pertuduhan-pertuduhan yang dihadapi Najib memiliki hubungan dengan pinjaman sebanyak RM4 bilion yang diberi kepada SRC International pada 2011 dan 2012 di mana dia dituduh menerima sejumlah RM42 juta ke dalam akaun peribadnya antara 2014 dan 2015. 

Najib kini  berdepan dengan tuduhan jenayah pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Bekas perdana menteri berusia 66 tahun itu diwakili beberaa peguam yang diketuai Muhammad Shafee Abdullah, sementara Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pihak pendakwaan. – 23 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen