.jpg)
KETIKA Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) Charles Santiago mendakwa adanya unsur sabotaj dalam insiden pencemaran bekalan air Selangor, di Sarawak pula berlakunya satu lagi unsur sabotaj, iaitu apabila Menteri Kewangan Lim Guan Eng enggan menyediakan dana untuk membaik pulih sekolah-sekolah daif di Sarawak.
Guan Eng seolah-olah menindas pelajar-pelajar negeri Sarawak apabila beliau mengancam negeri Sarawak membayar balik hutang sebanyak RM350 juta sebelum kerajaan pusat akan menyediakan dana untuk membaik pulih sekolah daif di Sarawak.
Sarawak adalah salah satu negeri yang bukan ditadbir Pakatan Harapan, dan tindakan Guan Eng ini seolah-olah menghukum penduduk negeri Sarawak.
Akhirnya, kesombongan menteri bakal menghalang ramai anak-anak Sarawak daripada melanjutkan pelajaran mereka kerana tidak mempunyai persekitaran pendidikan yang merangsangkan atau selesa.
Nampaknya Guan Eng tidak mampu membezakan antara politik dan pendidikan, dan semakin angkuh sejak menggalas jawatan Menteri Kewangan sehingga sanggup menuduh wang kutipan GST “dirompak” tanpa menyediakan bukti, menipu mengenai hutang negara yang kononnya mencecah “RM1 trilion”, dan hari ini menafikan dana untuk membaikpulih sekolah-sekolah daif.
Mungkin Guan Eng telah lupa, tetapi semasa beliau memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang pada 2011, kerajaan pusat BN pada masa itu telah mengambil alih hutang negeri bernilai RM655.24 juta untuk membolehkan kerajaan negeri DAP menjalankan penstrukturan semula industri perkhidmatan airnya.
Ini kerana kerajaan BN memahami bahawa isu air tidak patut dipolitikkan dan telah menjalankan tanggungjawabnya kepada rakyat walaupun negeri Pulau Pinang ditadbir pihak pembangkang pada masa itu.
Namun, hari ini Guan Eng berperangai seperti pembuli sekolah dan secara langsung menjejaskan peluang pendidikan dan masa depan anak-anak Sarawak semata-mata kerana perbezaan politik. – 23 Julai, 2019.
* Mike Chong Yew Chuan adalah jurucakap MCA
Komen