KABINET Palestin mengadakan mesyuarat di Gaza pada Selasa buat pertama kalinya sejak 2014 sebagai langkah untuk pengiktirafan antarabangsa pihak berkuasa Palestin mengambil alih wilayah itu.
Mesyuarat kerajaan yang berpangkalan di Tebing Gaza, diadakan sebagai langkah untuk menamatkan pertikaian antara PA dengan gerakan Hamas yang menguasai Gaza.
Dalam ucapannya Perdana Menteri Rami Hamdallah memperbaharui ikrarnya untuk menamatkan pertikaian itu.
“Kami di sini untuk membuka buku baru, mengembalikan projek nasional ke arah yang betul dan menubuhkan negara (Palestin),” katanya.
Ia merupakan mesyuarat kabinet pertama Gaza sejak November 2014, yang diadakan sehari selepas Hamdallah memasuki wilayah berkenaan buat pertama kalinya sejak kerajaan perpaduan musnah pada Jun 2015.
Selepas mesyuarat kabinet itu, jurucakap kerajaan Yusuf Al Mahmoud berkata para menteri membincangkan mengenai situasi kemanusiaan di Gaza. Tiada pegawai Hamas yang mengambil bahagian.
Mahmud menyatakan proses perdamaian penuh akan mengambil masa.
“Kerajaan tidak ada tongkat sakti,” katanya kepada pemberita.
Lebih dua juta rakyat tinggal di Gaza yang dikenakan sekatan oleh Israel dan Mesir sejak bertahun lalu.
Perbincangan selanjutnya akan diadakan di ibu negara Mesir, Kaherah minggu hadapan.
Langkah punitif yang dikenakan oleh PA terhadap Hamas, termasuk memotong bayaran elektrik di Gaza ditangguhkan sementara perbincangan itu berlangsung, kata Mahmoud
Hamas meminta langkah itu dihentikan serta merta untuk menunjukkan niat yang baik.
“Rakyat kami amat menantikan langkah seterusnya untuk mengurangkan penderitaan mereka,” menurut satu kenyataan.
Hamas mengawal Gaza sejak merampasnya daripada PA pada 2007 yang hampir mencetuskan perang saudara dan beberapa rundingan damai juga gagal.
Bulan lalu, gerakan itu mengumumkan mereka sedia untuk menyekat kawalan awam kepada PA berikutan tekanan daripada Mesir.
Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah menyenarai hitam Hamas sebagai sebuah gerakan pengganas, menyukarkan lagi penubuhan kerajaan perpaduan. – AFP, 3 Oktober, 2017.
Komen