Hakim sesyen direman 2 hari, disiasat terima sogokan pendatang asing


Kalidevi Mogan Kumarappa

Hakim Mahkamah Sesyen yang ditahan agensi anti rasuah semalam direman dua hari untuk siasatan kes menerima sogokan untuk melepaskan pendatang tanpa izin di Kuala Kubu Bharu, kata  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – Gambar The Malaysian Insight, 23 Julai, 2019.

HAKIM Mahkamah Sesyen yang ditahan agensi anti rasuah semalam direman dua hari untuk siasatan kes menerima sogokan untuk melepaskan pendatang tanpa izin di Kuala Kubu Bharu, kata  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya mengesahkan tempoh reman itu dalam mesej kepada media.

Awal hari ini, The Malaysian Insight melaporkan hakim itu diproses permohonan remannya di Hospital Putrajaya, tempat beliau menjalani rawatan selepas mengadu sakit dada.

Hakim berusia 45 tahun itu difahamkan mengadu sakit dada ketika berada dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lalu dibawa ke Hospital Putrajaya untuk pemeriksaan lanjut.

SPRM menahan hakim itu semalam bagi membantu siasatan berhubung kes sogokan kepada pegawai mahkamah untuk melepaskan pendatang tanpa izin.

Minggu lalu, SPRM menahan lapan orang – seorang timbalan pendakwa raya, seorang peguam dan enam anggota polis – yang disyaki terlibat menerima sogokan daripada pendatang tanpa izin yang ditahan di Kuala Kubu Bharu.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya mengesahkan hakim itu adalah individu kesembilan yang ditahan untuk siasatan berhubung kes yang sama.

“Siasatan adalah berkenaan penahanan PATI yang ditahan bagi tujuan pelepasan setelah dibayar.

“Sejumlah wang juga dirampas semasa tangkapan dibuat,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Tempoh reman ke atas timbalan pendakwa raya dan peguam yang ditahan minggu lalu dijadual berakhir hari ini.

Semasa ditahan minggu lalu, SPRM menemui RM17,500 pada peguam dan wang berkenaan dipercayai digunakan untuk melepaskan sembilan pendatang berkenaan daripada tindakan undang-undang.

Dalam operasi khas itu, SPRM turut  menemui RM85,000 daripada timbalan pendakwa raya, yang dipercayai wang hasil kegiatan haram.

Lima polis yang ditahan ialah pegawai penyiasat sementara seorang lagi polis mahkamah.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta SPRM atas kesalahan sogokan. – 23 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen