PARTI pemerintah Liga Muslim Pakistan (PML-N) pada Selasa memilih bekas perdana menteri Nawaz Sharif yang digulingkan, sebagai pemimpinnya beberapa minggu selepas mahkamah tertinggi negara itu menyingkirkan beliau daripada memegang sebarang jawatan awam, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan para pegawai parti berkenaan.
Mahkamah Agung Pakistan memecat Sharif pada 28 Julai atas dakwaan rasuah. Pemilihan Sharif dibuat beberapa jam selepas Parlimen meluluskan satu undang-undang baharu yang membenarkan ahli politik yang hilang kelayakan untuk memegang jawatan awam untuk mengetuai sebuah parti politik.
Ahli parlimen pembangkang mengemukakan bantahan dalam sesi Perhimpunan Kebangsaan atau Dewan Undangan Negeri di Parlimen pada petang Isnin ketika Menteri Undang-Undang Zaid Hamid membentangkan pindaan bagi “Rang Undang-Undang Pilihan Raya 2017.”
Sebelum ini, seorang ahli politik tidak boleh memegang sebarang jawatan dalam parti jika beliau didapati hilang kelayakan oleh mahkamah.
PML-N turut meminda perlembagaannya bagi membolehkan orang yang hilang kelayakan memimpin parti.
Tariq Fazl Chaudhry, seorang menteri kabinet dan pemimpin kanan PML-N, memberitahu media bahawa tiada calon lain mengemukakan kertas pencalonan sehingga pukul 10 pagi.
Sementara itu, beberapa parti pembangkang telah mengumumkan bahawa mereka akan mengemukakan permohonan kepada mahkamah bagi menentang pindaan dalam rang undang-undang itu atas alasan langkah tersebut akan membuka jalan kepada orang yang hilang kelayakan untuk memegang jawatan utama dalam sistem politik.
Bagaimanapun, PML-N mempertahankan pindaan itu dan menegaskan bahawa langkah tersebut bertujuan menghapuskan “undang-undang cacat yang dikuat kuasa oleh diktator.” – Bernama, 3 Oktober, 2017.
Komen