5 ditahan di Perancis selepas polis temui peralatan dipercayai bom buatan sendiri


Menteri Dalam Negeri Perancis Gerard Collomb mendedahkan seorang daripada suspek yang ditahan tersenarai dalam pemerhatian polis. – Gambar EPA, 3 Oktober, 2017.

POLIS Perancis menahan lima individu, termasuk seorang tersenarai dalam senarai pengganas selepas menemui peralatan yang dipercayai bom buatan sendiri di sebuah kejiranan mewah di Paris hujung minggu lalu, menurut pihak berkuasa.

Polis menemui dua silinder gas di satu lorong bangunan di daerah 16 pada awal pagi Sabtu lalu dan dua lagi di kaki lima luar bangunan terbabit.

Telefon bimbit yang turut dilekakan pada silinder berkenaan berkemungkinan sebagai suis peledak, kata sumber pasukan keselamatan kepada AFP.

Bercakap pada rancangan radio Franceinfo pada Selasa, Menteri Dalam Negeri Gerard Collomb mendedahkan seorang daripada suspek yang ditahan tersenarai dalam pemerhatian polis. 

“Ia menunjukkan ancaman terhadap Perancis sangat tinggi,” katanya yang turut menegaskan kepentingan pelaksanaan undang-undang ketat yang baharu selepas insiden serangan pisau di Marseille yang menyebabkan dua wanita terbunuh.

Ahli Parlimen Perancis akan mengadakan undian pada Selasa untuk rang undang-undang baharu anti keganasan yang dikritik kumpulan hak asasi manusia dan PBB kerana memberikan terlalu banyak kuasa kepada polis dan pihak berkuasa tempatan.

Dalam insiden Sabtu lalu, penduduk di kawasan berkenaan melaporkan kepada polis tentang enemuan dua silinder gas berkenaan di dalam bangunan di kejiranan Porte d’Auteuil.

Polis kemudiannya menemui dua lagi silinder gas di luar bangunan terbabit.

241 orang terbunuh dalam serangan pengganas di Perancis sejak 2015.

Pada 12 September, Collomb berkata sebanyak 12 rancangan serangan berjaya dipatahkan sejak awal tahun lalu.

Tiga suspek pengganas wanita turut ditahan pada September tahun lalu selepas penemuan sislinder gas dalam sebuah kereta berhampiran Gereja Notre Dame. – AFP, 3 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen