SIAPA sangka, “minuman ajaib” digunakan satu pasukan lumba basikal profesional yang mengungguli empat peringkat perlumbaan berprestij Le Tour de France minggu lalu adalah minuman berasaskan ketum.
Minuman ketones yang digunakan untuk pemulihan dan ketahanan atletnya itu juga digunakan pasukan lain dalam perlumbaan itu dan tidak tersenarai sebagai dadah terlarang dalam sukan.
Namun tumbuhan ketum yang tumbuh segar di bumi Malaysia itu bagaimanapun mendapat tanggapan berbeza di negara sendiri kerana masih diklasifikasi bahan berbahaya mengikut Akta Racun 1952.
Walhal, ketum mendapat permintaan tinggi di peringkat antarabangsa terutama dari Amerika Syarikat, kata bekas pengerusi Risda Zahidi Zainul Abidin.
Ahli Parlimen Padang Besar itu merupakan antara pelopor yang menggalakkan pekebun kecil Risda beralih kepada tanaman ketum sewaktu mengetuai agensi berkenaan sebelum ini.
Katanya, Risda sebelum ini menganggarkan, setiap kilogram ketum di pasaran antarabangsa bernilai antara RM400 hingga RM500.
“Ketum mampu menjana hasil pendapatan untuk negara, terutamanya di kawasan luar bandar. Kalau penjualan ketum dibenarkan, ia dapat membantu orang kampung.
“Harga sawit dan getah merudum tetapi harga ketum cukup baik dan penjagaannya juga cukup mudah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sewaktu menerajui Risda, beliau berkata agensi itu sudah cuba menjalankan program bantuan tanaman seperti sayur-sayuran untuk membantu menambah pendapatan pekebun kecil, namun gagal.

Jelasnya, agensi itu menyalurkan sehingga RM30 juta bagi usaha tersebut tetapi gagal kerana sistem pemasaran dan keadaan tanah di kampung yang tidak sesuai
“Tetapi ketum ini sesuai,” kata Zahidi yang berharap kerajaan memberi kebenaran untuk petani menanam dan menjual ketum bagi tujuan komersial.
Jelasnya, kerajaan akan dapat mengenakan cukai ke atas hasil ketum yang akan memberi dana kepada negeri.
Dana itu pula akan dapat digunakan untuk membasmi penagihan dadah dan juga penyalahgunaan ketum katanya lagi.
“Melalui kutipan hasil cukai ketum kita boleh beri satu negeri antara RM3 hingga RM4 juta setahun untuk atasi masalah penagihan dadah dan juga penyalahgunaan ketum.
“Sekarang badan-badan dan agensi berkaitan pembasmian dadah sukar untuk menjalankan aktiviti kerana mereka tiada dana.
“Jika dibenarkan tanam ketum ia jadi pendapatan cukup besar kepada negara dan penduduk luar bandar, manakala hasil ketum boleh bantu digunakan untuk membasmi penyalahgunaan ketum melalui program keusahawanan dan motivasi, sebagai contoh,” katanya lagi.
Tambahnya, negara jiran Indonesia menjana RM10 juta pendapatan bersih sebulan melalui hasil pusat penanaman ketum di Kalimantan.
Malaysia pula kerugian lebih RM100 juta setahun kerana melarang penanaman ketum secara komersial, katanya.
Walhal, ketum yang ditanam di utara Perlis, sehingga ke Sungkai, Perak adalah ketum dengan kualiti terbaik di dunia, berbanding ketum Indonesia dan Thailand, kata Zahidi.

Beliau yang juga ahli Parlimen Padang Besar berkata bagi setiap ekar tanaman ketum, petani akan dapat menjana pendapatan sehingga RM20,000 sebulan.
Sebab itulah saranan agar petani mengusahakan tanaman ketum yang dipasarkan pada harga RM25 hingga RM30 sekilogram itu mendapat sambutan tinggi, katanya lagi.
Jelasnya sebagai perbandingan, kelapa sawit yang ditanam di keluasan tanah sama hanya mampu memuatkan kira-kira 60 pokok dengan hasil tuaian kurang daripada RM1,000 sebulan.
Dianggarkan 300 pokok ketum boleh ditanam setiap ekar, dan setiap pokok boleh menghasilkan kira-kira 5kg daun setiap kali tuaian.
Seorang petani ketum, Ahmad Manaf, 68, dari Pulau Pinang berkata beliau sebelum ini hanya dapat meraih sehingga RM300 setiap musim dengan menyewakan tanah tanaman padi.
Ia tidak cukup untuk memberi pendapatan tambahan kepadanya yang bekerja sebagai sub kontraktor.
“Saya dulu bekerja sebagai sub kontraktor sebulan dapat RM10,000, pendapatan bersih adalah RM3,000 hingga RM4,000. Makan habis, mana boleh hidup senang.
“Sejak tanam ketum mampu boleh beli kereta, beli tanah sedikit-sedikit, sekarang yang saya boleh tahan hidup sebab tanam ketum.
“Dulu saya hidup susah, orang pun tidak berapa pandang kita, nak sekolahkan anak pun teruk, kita tak mampu,” katanya yang mula menanam ketum pada tahun 2000.
Tambahnya, dengan hasil penjualan ketum, dia kini mampu menyimpan kira-kira RM10,000 setiap bulan untuk keluarganya.

Ahmad turut menggaji pekerja untuk mengutip daun ketum di kebunnya dengan upah RM5 sekilogram.
“Kalau tanam kelapa sawit harga RM400-RM500 setan baru pekebun boleh hidup senang sikit, kalau bawah daripada itu, susah, upah petik, baja, racun, tidak balik modal,” katanya.
Bapa kepada sembilan anak itu juga berkata, selain menjual daun ketum, dia turut menjana pendapatan dengan penjualan benih ketum, dengan kadar RM15 setiap pokok.
Oleh itu beliau berharap kerajaan tidak menyalahkan ketum sebagai punca kepada gejala penagihan dadah, sebaliknya menggesa kajian terperinci dilaksanakan sebelum larangan dan sekatan dikenakan terhadap individu sepertinya.
“Kita harap kerajaan buat kajian jangan setakat cakap tanpa buat kajian. Ketum adalah kegunaan tradisi sejak dahulu, orang tua saya dah biasa minum buat ubat.
“Nak buat kajian silakan, tapi jangan haramkan terus, kita tak mahulah macam itu,” katanya, yang terlibat secara langsung membantu Universiti Sains Malaysia (USM) berkaitan penyelidikan ketum.
Seorang lagi petani ketum yang hanya dikenali sebagai In berkata, setiap bulan beliau mampu menjana kira-kira RM1,500 daripada 100 pokok ketum di tanah seluas setengah ekar di sekitar kawasan rumahnya.
“Gambaran yang begitu teruk mengenai ketum di media seolah-olah ketum mengakibatkan ketagihan, sedangkan itu tidak tepat, ketum banyak khasiat untuk rawatan penyakit,” katanya.
Beliau mengusahakan tanaman itu sejak tujuh tahun lalu dan turut terlibat membantu kajian USM berkaitan penggunaan ketum sejak 2016.

Pengerusi Persatuan Pencinta Herba Pulau Pinang (PPHPP) Abdul Halim Iberahim pula berkata, ketum boleh menghasilkan pelbagai produk akhir yang boleh menjana pendapatan selain penjualan daun dan dijadikan jus.
“Di AS, mereka menggunakan ketum yang dijadikan serbuk dan pil sebagai rawatan alternatif ketagihan heroin, menggantikan metadon.
“Terdapat pelbagai jenis produk ketum kita lihat yang dijual di Internet, tetapi kandungannya berbahaya, kita tidak tahu dari mana asal usulnya produk itu.
“Sebab itu kita minta penguatkuasaan supaya penjualan produk ketum boleh dikawal, kita tak mahu produk tiruan berleluasa kerana itu boleh menjejaskan nama ketum,” katanya.
Melalui penguatkuasaan, ketum dapat ditanam dan dijual secara terkawal, seperti penanaman secara berpagar, katanya.
Kerajaan pada awal bulan ini masih mengumumkan cadangan untuk meminda Akta Racun 1952 untuk menangani penyalahgunaan ketum dalam negara.
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye dilaporkan berkata pindaan itu dijangka akan menangani isu bekalan, eksport dan penanaman ketum.
Bagaimanapun cadangan pindaan itu dijangka tidak akan menggalakkan penanaman ketum secara besar-besaran kecuali untuk tujuan kajian, katanya.
Penguatkuasaan ke atas penjualan dan pengedaran ketum juga masih giat dijalankan pihak berkuasa.
Pada Jumaat lalu seorang lelaki ditahan di Teluk Intan kerana disyaki mengedar daun ketum seberat 225 kilogram yang dianggarkan bernilai RM12,250. – 23 Julai, 2019.

Komen