Pelaksanaan peraturan bunyi bising masih rendah


Pengerusi NIOSH Lee Lam Thye berkata, kebanyakan pekerja di sektor perkilangan, pembinaan, minyak dan gas terdedah kepada bunyi bising yang memberikan impak kepada pendengaran mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2019.

PERATURAN pendedahan bunyi bising dalam kalangan majikan dan pekerja di beberapa sektor kritikal dalam industri perkilangan dan pembinaan di negara ini masih rendah. 

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) Lee Lam Thye berkata peraturan tersebut yang termaktub dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu bertujuan melindungi pekerja daripada pencemaran bunyi. 

“Melalui peraturan ini majikan hendaklah memastikan pekerja mereka menggunakan alat pelindung untuk mengurangkan bunyi bising di tempat kerja,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Hari Keselamatam dan Kesihatan Spritzer di Jalan Air Kuning hari ini.

Lee berkata kebanyakan pekerja di sektor perkilangan, pembinaan, minyak dan gas terdedah kepada bunyi bising yang memberikan impak kepada pendengaran mereka. 

Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) agar turun padang untuk bersemuka dengan majikan bagi menerangkan tujuan dan objektif   peraturan bunyi diperkenalkan kerajaan.

Sementara itu, Lee berkata semua sektor termasuk swasta dan kerajaan, syarikat korporat dan multinasional serta industri supaya menerima wawasan sifar kemalangan bagi memastikan tempat kerja selamat daripada kemalangan dan penyakit.

Beliau berkata majikan dan pekerja hendaklah duduk bersama membincangkan ke arah mencapai  wawasan itu dengan mengambil langkah seperti latihan, pendidikan dan khidmat rundingan.

“Ini akan memastikan majikan boleh menyediakan sistem kerja selamat dan sihat dan pada masa yang saka, pekerja perlu memberikan keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan dan rakan-rakan mereka.

“Ia bukan sasaran baru, tetapi pendekatan baharu bahawa semua kecederaan dan masalah kesihatan akibat pekerjaan boleh dicegah manakala sifar kemalangan boleh dicapai,” katanya.

Konsep Wawasan Sifar adalah transformasi terhadap aspek pencegahan menggabungkan elemen keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan yang diperkenalkan oleh Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) bagi mengurangkan kemalangan di tempat kerja dan penyakit akibat pekerjaan. – Bernama, 22 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen