Khianat atau tidak, selesaikan saja masalah air


The Malaysian Insight

Gangguan bekalan air sudah jadi lumrah di Lembah Klang yang sarat dengan projek pembangunan. Jalan yang dikorek dan paip air yang diganti selalu menyebabkan bekalan air terjejas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2019.

HUJAN hampir setiap hari di Lembah Klang sejak beberapa hari lalu tetapi dalam masa 48 jam yang lepas bekalan air  terputus dua kali.

Dua kali itulah juga lebih tiga juga pengguna terjejas. Gangguan bekalan air di luar jangka di negeri paling maju di Malaysia ini menyebabkan banyak orang mengeluh. Sesetengahnya mendakwa ada sabotaj; sesetengah yang lain membayangkan Malaysia masih negara dunia ketiga.

Tanggapan itu disahkan hari ini apabila Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago menggesa polis menyiasat dua gangguan bekalan itu bagi memastikan sama ada wujud unsur khianat.

Sebuah syarikat perlombongan milik Selangor hari ini memaklumkan ia mengesan sumber pencemaran yang memaksa empat loji rawatan air ditutup semalam.

Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) berkata ia mengesan tumpahan diesel dekat Kolam Hang Tuah di Sungai Selangor semalam. Ia kesal dengan apa yang terjadi namun tidak pula menjelaskan apakah tempat kejadian adalah kawasan perlombongan.

Bagi warga Lembah Klang yang terjejas, kesal semata-mata tidak memadai. Mereka mahu lihat pihak berkuasa bertindak dan memberi jaminan gangguan bekalan air tidak berulang.

Gangguan bekalan air sudah jadi lumrah di Lembah Klang yang sarat dengan projek pembangunan. Jalan yang dikorek dan paip air yang diganti selalu menyebabkan bekalan air terjejas.

Namun apabila ada bayangan isu lain – pencemaran, perlombongan pasir dan, minta dijauhkan, khianat – kesabaran pengguna ada batasnya.

Selama ini kita menganggap pihak berkuasa sudah belajar daripada tiga pencemaran sungai di Pasir Gudang, Johor yang menyebabkan ribuan penduduk setempat jatuh sakit.

Selepas gangguan bekalan air di Lembah Klang semalam, beberapa gambar menunjukkan bagaimana Singapura melindungi bekalan airnya mula tular di media sosial. Polis bersenjata berkawal di loji rawatan air.

Ini mungkin satu lagi hal yang pihak berkuasa air boleh belajar dari negara jiran.

Sementara itu, pengguna di Lembah Klang harapnya bertabah untuk mengharungi hari-hari yang sulit ini. Melihatkan keadaan sekarang, pihak berkuasa tidak jelas bagaimana mahu menanganinya. – 22 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen