PEMILIK sebenar sesuatu harta sukar ditentukan kerana tiada kuasa untuk berbuat demikian dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009), kata Latheefa Koya.
Ketua pesuruhjaya SPRM itu berkata peruntukan untuk menyiasat pemunya berkepentingan itu perlu dimasukkan dalam Seksyen 20 akta tersebut untuk menyiasat elemen rasuah dalam proses tender.
“Bagi membolehkan kami bertindak lanjut dalam mencegah rasuah, peruntukan khas ini penting untuk mengesan pemunya benefiasiari yang berselindung di sebalik proksinya.
“Kami ada kes di mana ketika disiasat pemilik sebuah kenderaan memiliki kenderaan di luar kemampuannya, jadi ini antara kesulitan yang kami hadapi.
“Jadi kami perlu memastikan undang-undang cukup untuk menyokong siasatan SPRM,” katanya selepas merasmikan bengkel mengenai peruntukan itu hari ini.
Seksyen 20 itu pada masa ini hanya menyatakan seseorang melakukan kesalahan sekiranya menawarkan suapan bagi mendapatkan atau menarik balik sesuatu tender.
Dengan peruntukan tambahan itu, tugas penguatkuasaan akan menjadi lebih efektif, katanya dalam selepas Bengkel Serantau dalam Mempromosikan Ketelusan Pemunya Benefisiari di Asia Tenggara, hari ini.
Cadangan pindaan itu untuk membolehkan SRPM menyiasat sesuatu proksi berkenaan telahpun diumumkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamed pada Januari.
Dr Mahathir berkata, mereka akan memasukkan peruntukan baharu, iaitu mengenai tanggungjawab mendedahkan pemunya berkepentingan ke dalam akta tersebut.
Pengumuman itu dibuat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah pada waktu itu.
Menurutnya, banyak kes melibatkan individu yang digunakan sebagai proksi terhadap sesuatu kepentingan bagi mengelakkan pemilik asal terdedah kepada kebarangkalian dikenakan tindakan. – 22 Julai, 2019.
Komen