SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan polis berhubung kematian Teoh Beng Hock.
Ketua pesuruhjayanya, Latheefa Koya memberi jaminan berkenaan kerana SPRM merupakan pihak yang disiasat dalam kes itu.
“Seperti saya jelaskan, sama ada siasatan dalaman atau siasatan luaran saya tak boleh komen.
“Kamu perlu tanya polis. Kami parti yang sedang disiasat. Kami hanya boleh mengesahkan dan memberi kerjasama dengan siasatan ini.
“Saya tidak akan komen mengenai siasatan dalaman jika ada,” katanya selepas merasmikan satu bengkel siasatan di Kuala Lumpur hari ini.
Ia susulan pengumuman polis pada 26 Jun lalu yang mengklasifikasi semula kes kematian itu Teoh mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan penahanan secara salah.
Tindakan itu berdasarkan keputusan Pejabat Peguam Negara yang mendapati tiada bukti kukuh untuk menjalankan pendakwaan mengikut Seksyen 304 atau 304A Kanun Keseksaan.
Siasatan mengikut peruntukan itu Seksyen 304 Kanun Keseksaan itu berhubung kesalahan mendatangkan kematian secara cuai atau membunuh tanpa niat.
Ia susulan desakan kumpulan Teoh Beng Hock Trust For Democracy yang mahu siasatan berpandukan penghakiman Mahkamah Rayuan pada 2014.
Penghakiman itu memutuskan terdapat seorang atau lebih individu, termasuk pegawai SPRM menyebabkan kematian Teoh.
Teoh ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan sama.
Mendiang ialah setiausaha politk kepada exco Selangor, Ean Yong Hian Wah pada waktu itu. – 22 Julai, 2019.
Komen