Universiti Fort Hare ditutup akibat rusuhan mahasiswa


Kampus utama Universiti Fort Hare di Alice Afrika Selatan ditutup sehingga diberitahu kelak, selepas penuntut bertindak membakar kampus berkenaan. – Gambar fail AFP, 3 Oktober, 2017.

KAMPUS utama Universiti Fort Hare di Alice Afrika Selatan ditutup sehingga diberitahu kelak, selepas penuntut bertindak membakar kampus berkenaan mengakibatkan kerosakan bernilai R200,000, kata jurucakap universiti semalam.

“Pengurusan memutuskan keadaan huru-hara dicetuskan penuntut mengakibatkan kakitangan universiti tidak dapat menjalankan tugas mereka,” kata jurucakap universiti, Khotso Moabi dalam satu kenyataan.

Moabi berkata semua kakitangan dan penuntut diminta mengosongkan kampus pada hari ini.

Jurucakap Polis Cape Timur Siyasanga Nontshinga berkata seorang pelajar ditahan polis pada Isnin petang susulan kejadian itu.

Beliau berkata penunjuk perasaan menuntut untuk bertemu dengan Naib Canselor Universiti Sakhela Buhlungu.

Operasi kampus berkenaan terpaksa dihentikan minggu lalu selepas penuntut tidak berpuas hati dan merosakkan kedai buku serta membuat sekatan di beberapa laluan.

Perjumpaan wakil pelajar dengan pihak pengurusan pada minggu lepas gagal meredakan ketegangan berhubung isu seperti bekalan air berkala, bekalan elektrik terhad dan masalah penyambungan Wi-Fi. – Bernama, 3 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen