Pemahaman di mana MH370 berada kini semakin baik 


Ketua-ketua pasukan mencari pesawat itu mengakui sukar untuk memahami bagaimana sebuah pesawat komersil boleh lenyap di era moden. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2017.

KETUA-ketua pasukan mencari pesawat MH370 hari ini berkata mereka semakin faham di mana pesawat itu berada dan mengakui sukar untuk memahami bagaimana sebuah pesawat komersil boleh lenyap di era moden.

Pesawat Malaysia Airlines dengan 239 penumpang itu hilang pada Mac 2014 ketika membuat perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Operasi mencari pesawat itu dilakukan secara besar-besaran di dasar laut di selatan Lautan Hindi terpencil yang berakhir pada Januari lalu.

Berdasarkan analisa satelit trajektori pesawat, tiada jejak ia ditemui di zon 120,000 km persegi di mana ia mungkin dialihkan dari laluan penerbangannya.

“Masih belum dapat dipastikan lagi sebab-sebab pesawat MH370 hilang sehinggalah ianya dijumpai,” kata Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang mengetuai pencarian dalam laporan akhirnya hari ini.

Pencarian pesawat itu merupakan yang terbesar dalam sejarah dan menurut ATSB, cabarannya adalah ia dilakukan dengan data yang terhad iaitu pada mulanya hanya hanya maklumat prestasi pesawat dan metadata komunikasi satelit yang ada.

Kemudian, semasa pencarian di bawah air, kajian jangka panjang telah digunakan untuk mengesan punca serpihan yang terapung selama lebih setahun, dan beberapa kes lebih dua tahun.

Namun, selepas hampir tiga tahun operasi mencari, ATSB dalam laporan 440 muka suratnya berkata “pemahaman tentang di mana MH370 mungkin berada sekarang adalah lebih baik daripada sebelum ini”.

“Pencarian di bawah permukaan air memusnahkan kebanyakan kawasan berkebarangkalian tinggi dengan membina semula laluan penerbangan pesawat itu, dan kajian ke atas serpihan yang hanyut sepanjang 12 bulan lepas telah mengenal pasti kawasan paling berkemungkinan dengan ketepatan yang meningkat,” katanya.

Badan sains kebangsaan Australia CSIRO pada April telah mengeluarkan laporan menyarankan pesawat itu “berkemungkinan besar” berada di utara zon pencarian awal di kawasan sekitar 25,000 km persegi.

Ia dipersetujui ATSB setelah menganalisis semula imej satelit yang diambil pada 23 Mac 2014, yang mengenal pasti objek-objek yang mungkin serpihan MH370.

“Analisis ini melengkapi penemua Kajian Prinsip Pertama dan mengenal pasti kawasan seluas kurang dari 25,000 km persegi yang berkemungkinan tinggi MH370 berada,” katanya. – AFP, 3 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen