KERJASAMA dengan PAS tidak harus menyebabkan Umno kehilangan sokongan bukan Melayu kelak, kata ahli Parlimen parti itu, Khairy Jamaluddin.
Oleh itu Umno dan PAS juga perlu memikirkan tawaran kepada bukan Melayu dalam piagam yang akan dimaterai tidak lama lagi, kata bekas menteri itu.
“Kita kena pastikan piagam itu nanti tidak dilihat sebagai satu kerjasama yang tidak mengambil kira bangsa lain. Kena fikir apa tawaran kita untuk dapatkan semula sokongan mereka.
“Kita tidak boleh menang sekiranya hanya bergantung kepada taawun PAS dan Umno sahaja walaupun saya pada awalnya agak ragu-ragu dengan kerjasama ini,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai piagam tersebut, Khairy berharap ianya satu perjanjian yang memberi keadilan kepada semua pihak.
Beliau memberi amaran, Umno perlu memahami perjanjian yang akan dibuat dengan PAS serta kesan yang akan berlaku.
“Dalam keghairahan kita hendak bernikah, jangan kita lupa lafaz taklik yang kita hendak baca.
“Itu perincian yang perlu kita lihat dalam kerjasama atas persaudaraan Islam, tetapi kita tahu juga apa terma gabungan tersebut.
“Jangan kerana demi kemenangan, kita buat satu perjanjian yang berat sebelah. Perincian piagam itu kena adil kepada kedua-dua pihak,” ujarnya.
Perjanjian kerjasama dipanggil Piagam Muafakat Nasional itu dimuktamadkan 17 Julai dan akan ditandatangani tidak lama lagi.
Khairy berucap ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kota Melaka, hari ini. – 21 Julai, 2019.
Komen