WALAUPUN bergelar syurga pelancongan, industri perhotelan Sabah meraih pendapatan kira-kira 30% lebih rendah berbanding di Semenanjung Malaysia.
Situasi itu hanya menawarkan harapan kecil kepada golongan belia di luar bandar yang bergantung kepada pekerjaan dalam bidang pelancongan untuk meneruskan hidup.
Gaji purata untuk pelayan dan pembantu hotel di Sabah bermula RM1,000, kata Setiausaha Kesatuan Pekerja Hotel Sabah Ladis Yaman.
Namun di Johor dan Kuala Lumpur, gaji bagi pekerjaan itu masing-masing bermula daripada RM1,400 dan RM1,500.
Bagi pekerja separuh masa untuk tugas pelayan, mereka hanya meraih RM4.50 hingga RM5.30 sejam di Sabah manakala di Semenanjung, jumlahnya lebih tinggi antara RM6 dan RM7 sejam.
Malah pekerja hotel di Labuan meraih pendapatan lebih tinggi berbanding di tanah besar Sabah dengan mendapat kira-kiran RM1,200 hingga RM1,700 sebulan.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, industri pelancongan Sabah mengalami pertumbuhan pesat dengan kadar kehadiran pelancong yang tinggi dan berdepan kekurangan bilik hotel.
Tahun lalu, Sabah merekodkan pendapatan RM8.342 bilion daripada pelancongan dan menerima kehadiran 3.879 juta pelancong.
Jumlah itu melebihi 3.685 juta pelancong yang direkodkan pada 2017 dengan hasil pelancongan sebanyak RM7.82 bilion.
Menurut Ladis, kebanyakan pekerja hotel di negeri itu datang dari daerah luar bandar, tidak mempunyai pendidikan sewajarnya dan cuba membina hidup di ibu negeri, Kota Kinabalu.
“Kebanyakan mereka tamat Tingkatan Lima dan menyewa hotel di bandar,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sewa bilik tanpa bilik air di Kota Kinabalu kira-kira RM250 sebulan manakala bilik utama antara RM500 hingga RM1,500 sebulan.
“Dengan harga barangan di Sabah, kebanyaka mereka tidak dapat menyimpan walaupun RM100 pada hujung bulan,” kata Ladis.
Harga barangan di Kota Kinabalu kira-kira 30% lebih tinggi berbanding di Semenanjung dan Sarawak kerana kos logistik yang perlu ditampung untuk membawa barangan itu dari Pelabuhan Klang, Selangor. – 21 Julai, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen