NAJIB Razak tidak harus menggunakan kedudukan sebagai pengerusi lembaga penasihat Barisan Nasional (BN) untuk kepentingan peribadi, kata bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein.
Sebaliknya kedudukan itu harus digunakan untuk kepentingan parti seperti yang diharapkan oleh semua pihak dalam parti, katanya lagi.
Beliau juga memberi peringatan itu semasa menyatakan sokongan bersyaratnya ke atas pelantikan baharu Najib ke jawatan berkenaan minggu lalu.
“Kalau hendak balik kepada parti, hendak jadi penasihat, pegang presiden dan apa jua jawatan yang kita pegang itu, pastikan keutamaan diberikan kepada kekuatan dan pemulihan parti itu sendiri.
“Tetapi kalau mereka melakukan sesuatu bercanggah dengan perjuangan Umno atau mengambil kesempatan kedudukan yang ada itu untuk kepentingan diri, itu kita suarakan secara tertib dan bijaksana,” katanya.
Tambahnya beliau menyokong memandangkan pelantikan itu didukung oleh parti komponen BN tetapi tidak pasti jika ia akan membantu mengukuhkan parti.
“Kalau MIC dan MCA sanggup terima bossku (Najib) sebagai penasihat Barisan Nasional, lantaklah. Kita ikutlah.
“Saya sokong sekiranya ianya membantu tetapi masih terlalu awal untuk tengok sama ada lantikan mereka akan membantu memperkukuhkan parti atau tidak,” katanya lagi kepada pemberita di Melaka.
Bekas menteri itu ditanya mengenai perkara itu memandangkan pemimpin parti peringkat tertinggi dan akar umbi dilihat berbeza pandangan berhubung pelantikan Najib ke jawatan tersebut.
Antara pemimpin yang menentang keras pelantikan itu adalah dua bekas menteri Kabinet Najib, Nazri Aziz dan Khairy Jamaluddin menyifatkannya sebagai langkah ke belakang.
Nazri juga berpendapat pelantikan itu sebagai satu “kerja gila” memandangkan BN tewas sewaktu parti dan kerajaan dipimpin Najib.
Beliau juga mendakwa Najib sebenarnya memohon menjadi Pengerusi Barisan Nasional supaya mempunyai peluang untuk menjadi perdana menteri semula.
Najib bagaimanapun menafikan pelantikan tersebut merupakan batu loncatan untuk beliau menjadi perdana menteri pada masa akan datang.
Mengulas lanjut mengenai kenyataan itu, Hishammuddin, pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan itu perlu menyuarakan secara tertib dan membawanya kepada Majlis Tertinggi Umno.
Hishammnuddin bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Kota Melaka, hari ini. – 20 Julai, 2019.
Hishamuddin nyata sokongan bersyarat pada Najib
Komen