Wong undur dari Kabinet Sarawak Ogos depan, kata Abang Johari


Desmond Davidson

Ketua Menteri Abang Johari Openg mengesahkan Wong, presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), telah melepaskan jawatan selepas beliau meletak jawatan pada hari Selasa ketika pertemuan antara mereka berdua. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2019.

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan eDagang Sarawak Wong Soon Koh akan mengundur diri dari jawatan kerajaan apabila beliau pulang dari percutian Ogos depan.

Ketua Menteri Abang Johari Openg mengesahkan Wong, presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), telah melepaskan jawatan selepas beliau meletak jawatan pada hari Selasa ketika pertemuan antara mereka berdua.

“Dia ada baki cuti dan dia ambil, dia akan tinggalkan pejabatnya di akhir percutian,” kata ketua menteri itu ketika ditanya pemberita di Kpg Pichin di Tebedu, kira-kira 90km dari Kuching.

Beliau berada di sana untuk melancarkan zon 4 cawangan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Wong didesak meletak jawatan apabila parti-parti dalam gabungan itu menuduh PSB tidak mengendahkan keharmonian dan perpaduan gabungan itu dengan menyerang anggota mereka.

Wong, dalam satu sidang media pada hari Isnin, mengatakan bahawa beliau meletakkan jawatan kabinet dan menggambarkan peletakan jawatan itu sebagai “integriti politik”.

Beliau berkata beliau tidak lagi mempunyai locus standi moral untuk mewakili parti itu dalam kabinet negeri kerana “semua kaki dan lengan saya telah dipotong”, yang dipercayai merujuk kepada tindakan kerajaan negeri membekukan semua projek kecil luar bandar dan pembiayaan transformasi bandar bagi wakil rakyat PSB, di samping turut membersihkan ahli-ahli yang dicalonkan parti pada majlis-majlis tempatan dan badan-badan berkanun negeri.

“Saya berseorangan (dalam kerajaan),” jelas beliau.

Delegasi persidangan parti di Sibu hujung minggu lalu menyerahkan kepada Wong untuk menentukan kedudukannya.

Wong, yang juga merupakan Menteri Kewangan Kedua, telah menggunakan sidang media di pejabatnya untuk menyerang pengkritiknya, presiden PRS, James Masing.

Masing memberitahu Wong supaya berhenti merungut dan meletakkan jawatan dengan segera.

Masing juga berkata Wong sepatutnya meletak jawatan “lama dahulu” kerana ia sudah jelas tetapi “terlalu bodoh untuk menyedarinya”.

Terdahulu Abang Johari mengulangi dasar menggunakan autonomi imigresen untuk memastikan mereka yang taksub dari semenanjung tidak masuk ke negeri itu akan tetap diteruskan.

“Kami akan terus beritahu mereka untuk keluar.”

Beliau berkata politik agama yang digunakan oleh pihak-pihak di semenanjung dan sibuk untuk menjadi perdana menteri tidak selaras dengan politik di negeri ini.

Beliau berkata jenama politik yang dibawa kumpulan itu tidak peka terhadap kepelbagaian agama dan kaum di negeri Sarawak. – 20 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen