Pendedahan pengundi muda: Di mana perlu mula?


PADA 16 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan kelayakan umur mengundi kepada 18 tahun. Walaupun ini langkah baik, masih ada lagi yang menganggap mereka ini tidak matang dan tidak tahu politik. 

Adakah kenyataan ini benar belaka? Adakah kita kenal generasi baru pengundi Malaysia akan datang? 

Generasi pengundi muda kini menyukai benda-benda yang popular. Mereka menggilai lagu dan artis K-pop, menumpukan misi permainan komputer PUBG bersama rakan-rakan masa lapang, selain aktif di Instagram dan Facebook. 

Budaya popular merupakan satu fenomena global. Jadi, tidak sesuai sekiranya ada pihak mendakwa belia yang menggunakan media sosial untuk mendapatkan informasi sebagai tidak matang. Media sosial hanyalah alat untuk menyalurkan maklumat, bukan ukuran kematangan. 

Kita harus akui bahawa pengundi muda ini perlu diberi pendedahan mengenai sistem kenegaraan dan politik Malaysia. 

Jadi, di mana kita boleh mula untuk membantu pengundi muda?  

Pada hemat saya, terdapat dua pendekatan untuk memberi pendedahan politik kepada pengundi muda. Pertama, menggunakan media sosial dan kedua, menambah penglibatan anak muda di peringkat kerajaan tempatan. 

Social media influencer: Berkesan dan mudah 

Kumpulan seperti influencer di YouTube telah membawa gelombang perubahan dalam penyaluran maklumat kepada masyarakat. Golongan ini mempunyai pengikut dan mampu mempengaruhi seseorang dalam membuat keputusan. 

Akaun YouTube ML Studio di YouTube contoh paling hampir dalam industri ini. Mereka menampilkan beberapa jurucakap anak muda yang memberi kupasan dalam pelbagai topik seperti sukan, filem, sains dan politik. Dengan video yang ringkas dan pendek, mereka memberi maklumat ringkas dan padat kepada orang muda. 

Pendekatan ini lebih mudah dan menjimatkan kos, dan lebih kreatif berbanding cadangan meminta Kementerian Pendidikan membuat kajian memperkenalkan subjek mengenali hak mengundi di sekolah yang memakan masa dan perdebatan yang agak panjang. 

Sekiranya pemain media kreatif ini dapat bekerjasama dan berkongsi tentang peranan pengundi, mendedahkan sistem pentadbiran yang telus, konsep kenegaraan, secara tidak langsung ia mampu mewujudkan pengundi muda berpengetahuan dengan pelbagai informasi mengenai sistem politik negara. 

Baru-baru ini, ada sebuah video tular di Jepun bertajuk “Pengundi muda, jangan mengundi”. Video ini daripada sekumpulan warga tua di Jepun yang berpandangan pengundi muda tidak perlu mengundi pada pilihan raya Dewan Kaunselor (seperti Dewan Negara) pada Ahad ini. Mesej provokatif kepada pengundi belia agak jelas: Jangan mengundi, tidak perlu kerana Jepun negara aman. 

Aspek provokatif ini dibuat oleh seorang pelawak tersohor Jepun, Nana Takamatsu untuk menarik pengundi belia memandangkan Jepun juga telah menurunkan kelayakan umur mengundi kepada 18 tahun pada tahun 2016. 

Tujuan Takamutsu hanya untuk mencipta kesedaran tentang isu-isu politik kepada anak muda yang kurang pendedahan politik. Beliau juga turut mengerakkan program berunsur jenaka  untuk mendekatkan pengundi muda tentang isu semasa. 

Mungkin, influencer di media sosial dan mereka yang berada dalam industri kreatif boleh lakukan perkara yang sama untuk menarik minat pengundi belia. 

Peranan kerajaan tempatan 

Pengundi belia boleh menyertai aktiviti di peringkat kerajaan tempatan atau komuniti tempatan dalam mendalami pengetahuan mereka tentang demokrasi. Isu-isu tempatan akan memberi pendedahan belia tentang peranan dan hak mereka sebagai pengundi. Mereka boleh melibatkan diri dalam perancangan kawasan setempat dan memberi idea dalam mengatasi isu tempatan seperti kesesakan lalu lintas. 

Pilihan Raya Ketua Kampung Baru Paroi, Seremban baru-baru ini boleh menjadi contoh permulaan yang baik untuk mendekatkan komuniti, khususnya anak muda, memahami hak dan kuasa mereka membuat keputusan. 

Kabinet juga dijangka akan memutuskan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan hujung tahun ini. Kertas cadangan ini disiapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. 

Tidak efektif sekiranya anak muda hanya menggunakan hak mereka lima tahun sekali untuk pilihan raya umum. Sebaliknya, pengenalan semula sistem pilihan raya tempatan boleh menambah kefahaman dan hak belia dalam membuat keputusan. – 20 Julai, 2019.

* Fakhrurrazi Rashid adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen