Polis jumpa senjata di rumah penembak Las Vegas


Polis menggeledah rumah Stephen Paddock di Mesquite, Nevada susulan kejadian tembakan secara rawak di konsert terbuka di Las Vegas semalam. – Gambar AFP, 3 Oktober, 2017.

PIHAK berkuasa berkata mereka menemui senjata termasuk senapang, bahan letupan dan peluru dari sebuah rumah dimiliki penembak insiden di Las Vegas, Stephen Paddock, ketika jumlah kematian akibat serangan itu mencecah 59 orang.

Serif Joseph Lombardo berkata pegawai yang menggeledah rumah di Mesquite, Nevada menemui 18 senjata, beberapa bahan letupan dan ribuan peluru, selain peranti elektronik yang masih dinilai buat masa ini.

Lombardo berkata angka kematian akibat serangan di konsert terbuka di Las Vegas Strip meningkat kepada 59, manakala 527 lagi cedera.

Katanya pihak berkuasa sedang menyiasat di empat lokasi jenayah yang berasingan iaitu bilik Paddock di hotel Mandalay Bay, tapak konsert, rumah penembak itu di Mesquite, dan sebuah lagi rumah miliknya di utara Nevada.

Sekurang-kurangnya 16 senjata api ditemui di bilik hotel di Vegas, di mana Paddock melakukan tembakan rambang sebelum membunuh dirinya sendiri.

Lombardo berkata penyiasat menemui beberapa bahan letupan di rumah di Mesquite seperti tannerite dan juga ammonia nitrat, sejenis baja di dalam kereta penembak itu.

Ketika ditanya sama ada polis menemui sebarang bukti mengaitkannya dengan kumpulan pengganas Islamic State, Lombardo berkata tidak ada. – AFP, 3 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen