Penembak Las Vegas akauntan bersara, penjudi tegar


Tingkap di tingkat 32 hotel Mandalay Bay di Las Vegas pecah selepas menjadi lokasi di mana Stephen Craig Paddock melepaskan ke arah pengunjung konsert sehingga menyebabkan 59 terbunuh. – Gambar AFP, 3 Oktober, 2017.

STEPHEN Craig Paddock, akauntan bersara yang menyeludup masuk senjata ke dalam hotel besar di Las Vegas dan kemudian menembak pengunjung konsert dari tingkap tingkat 32, adalah seorang penjudi tegar dan bapanya, seorang perompak bank yang berada dalam senarai orang dikehendaki FBI.

Penembak berusia 64 tahun itu mempunyai sebuah rumah bersama teman wanitanya di sebuah kawasan persaraan dalam kelab golf di Mesquite, Nevada, 130km dari utara pusat perjudian Amerika Syarikat itu.

Dia juga dikatakan sering menghantar biskut kepada ibunya yang berusia 90 tahun di Florida.

Menurut adik lelakinya, Eric, dia tidak menunjukkan sebarang tanda akan melakukan pembunuhan beramai-ramai yang paling teruk dalam sejarah Amerika.

Kumpulan Islamic State mendakwa Paddock sebagai salah seorang “askarnya”, memeluk Islam beberapa bulan lalu dan melakukan serangan atas nama kumpulan itu. IS memberikannya nama Abu Abdel Bar al-Amriki iaitu “The American”.

Tetapi FBI berkata mereka tidak melihat sebarang kaitan antara Paddock dengan kumpulan pengganas itu.

Kira-kira 59 orang maut sementara lebih 500 cedera dalam kejadian itu.

Paddock ditemui mati, dipercayai kerana menembak diri sendiri ketika polis menyerbu masuk ke biliknya di hotel Mandalay Bay, salah satu mercu tanda paling terkemuka di Las Vegas. – AFP, 3 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen