Umpan RM5 juta: Skripnya sudah siap, tinggal baca saja


Chan Kok Leong Diyana Ibrahim

KETUA Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman sepatutnya hanya membaca saja daripada skrip yang sudah disediakan pada sidang media di Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur semalam.

Ia skrip hampir sama diberikan kepada mereka yang sudah meninggalkan parti sebelumnya, baru-baru ini.

Juara debat dunia itu sepatutnya mengkritik Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dan mencabar bekas perdana menteri itu naik ke pentas untuk berdebat dengannya.

“Saya diminta untuk kritik Dr Mahathir seperti masa mesyuarat mereka suruh saya kata yang betul Dr Mahathir ini nak naikkan anak dia saja, Mukhriz.

“Mereka kata semuanya sudah disediakan. Saya cuma perlu baca saja.

“Saya kemudian kena cabar Dr Mahathir dan Mukhriz berdebat dan kalau mereka tidak setuju, buat macam forum ‘Nothing To Hide’,” kata Syed Saddiq dalam wawancara bersama The Malaysian Insight, malam tadi.

“Mereka” itu merujuk kepada mereka yang bekerja untuk Perdana Menteri Najib Razak.

Ditanya apakah beliau mahu menunjukkan skrip yang disediakan untuk sidang medianya, anak muda 25 tahun itu berkata: “Itu untuk kita tengok sekiranya keadaan bertukar jadi macam lain.”

Syed Saddiq semalam mendedahkan beliau diumpan RM5 juta oleh penasihat kanan Najib untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Oxford dengan biasiswa sebanyak RM400,000. Tawaran itu termasuk dana untuk beliau memulakan sekolah debat, yang akan beliau ketuai, di seluruh negara.

Beliau diminta untuk mengadakan sidang media di Hotel Seri Pan Pacific, Kuala Lumpur, betul-betul di sebelah bangunan ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Syed Saddiq pun mengadakan sidang media seperti yang diatur tetapi dia kemudian berpaling tadah daripada mereka yang mengumpannya untuk mengkhianati perjuangannya.

Ini bukan kali pertama

Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight, Syed Saddiq berkata ini bukan kali pertama beliau ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana di Oxford.

Tahun lalu, selepas Oxford menawarkan biasiswa bernilai hampir £70,000 untuk menyambung pengajian dalam bidang dasar awam, Syed Saddiq berkata seorang ahli politik menawarkan kepadanya lebih banyak lagi wang untuk beliau gunakan bagi tujuan pengajiannya.

“Kali pertama mereka datang pada saya ketika Jun 2016, mereka menawarkan saya RM500,000 untuk menyambung pengajian.

“Kemudian kali kedua mereka datang jumpa saya di antara November dan Disember 2016,” katanya.

“Ketika itulah mereka cadangkan saya diberikan RM5 juta dalam bentuk geran untuk sekolah debat yang saya hendak tubuhkan.

“Mereka tahu duit tidak boleh ubah pendirian saya. Kali kedua mereka membuat tawaran dengan sejumlah RM5 juta termasuk geran untuk saya membuka sekolah debat.”

Syed Saddiq berkata beliau mendapat umpan akhir pada Rabu minggu lalu kerana mereka tahu beliau terpaksa membuat keputusan segera memandangkan sesi pengajian di Universiti Oxford akan bermula minggu depan.

Duit umpan RM5 juta itu sepatutnya dibayar berperingkat: RM500,000 selepas habis sidang media semalam dan baki RM4.5 juta dalam bentuk geran untuk membuka sekolah debat.

Katanya, ketika belajar undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, beliau pernah menghantar kertas cadangan kepada kerajaan untuk membuka sekolah debat tidak hanya di Johor tetapi di seluruh Malaysia.

“Ini yang paling mengejutkan kerana mereka tahu saya pernah hantar kertas cadangan untuk buka sekolah debat.

“Mereka kata saya boleh buka dulu sekolah dan bagi pada kawan untuk jaga dan kemudian selepas habis belajar saya boleh ambil kembali sekolah itu,” katanya.

Umpan itu bagaimanapun tidak memerlukan beliau untuk keluar daripada Bersatu dan menyertai parti lain, katanya.

Syed Saddiq berkata beliau tidak menerima tawaran itu serta-merta tetapi merujuknya kepada kawan-kawan dan ahli keluarga untuk nasihat.

 “Hampir semua minta saya terima saja tawaran itu dan pergi. Tetapi saya tidak buat keputusan lagi.”

Katanya, beliau hanya membuat keputusan menolak tawaran tersebut selepas menghantar jemputan sidang media pada petang Ahad.

“Tetapi saya tidak beritahu sesiapa keputusan saya. Ibu bapa saya tidak tahu, kawan-kawan pun tidak tahu. Malah pemimpin Bersatu juga tidak tahu.

“Saya juga disuruh tidak melayan sebarang panggilan telefon atau berjumpa dengan sesiapa. Mereka mahu saya tinggal di Hotel Seri Pan Pacific tapi saya tolak dan kata nak tinggal di rumah saja.”

Siapa mereka?

Pada sidang medianya semalam, Syed Saddiq mendakwa pihak yang membuat tawaran sogokan itu dihantar oleh pegawai kanan perdana menteri.

Namun katanya beliau tidak dapat mendedahkan identiti pihak tersebut buat masa ini.

“Ada beberapa orang yang datang jumpa saya dalam tempoh tiga kali tawaran dilakukan. Mereka mendakwa mereka ahli perniagaan.

“Apabila saya tanya siapa yang hantar mereka, salah seorang daripadanya mengaitkan dengan nama penasihat kanan perdana menteri. Tapi saya tak pernah berjumpa lagi.”

Syed Saddiq menamakan penasihat kanan itu pada sidang medianya semalam. The Malaysian Insight cuba mengesahkan dakwaan ini dan sudah mengirimkan soalan kepada pegawai media penasihat itu. Pegawai media berkenaan belum menjawab soalan dikemukakan oleh The Malaysian Insight.

Syed Saddiq mendakwa beliau juga ada rakaman audio perbualan dan bukti lain yang menunjukkan umpan itu betul-betul ada.

“Tetapi saya tak boleh tunjuk sekarang. Saya hanya akan dedahkan kalau saya diugut.” – 3 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Touch the money…and that spells the end of your political life.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan

  • Syed Saddiq menipu saja kerjanya. bagaimana nak percaya jika berakhlak buruk. munasabah diri sendiri dahulu wahai Syed Saddiq

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan