Langkah keselamatan diperketat pada upacara kremasi raja Thai


Persiapan rapi kini giat dijalankan untuk upacara kremasi mendiang Raja Bhumibol Adulyadej, yang meninggal dunia setahun lalu. – Gambar EPA, 2 Oktober, 2017.

LANGKAH-langkah keselamatan akan diperketat sepanjang berlangsungnya Upacara Kremasi Diraja mulai 25 hingga 29 Oktober berikutan terdapat laporan perisikan bahawa kumpulan tertentu merancang mencetuskan kekacauan semasa upacara bersejarah itu.

Timbalan Perdana Menteri Jen Prawit Wongsuwan berkata kerajaan menjangka kira-kira 250,000 orang akan menghadiri upacara untuk mendiang Raja Bhumibol Adulyadej, yang meninggal dunia setahun lalu.

“Saya khuatir kejadian boleh berlaku seperti kekacauan atau halangan oleh kumpulan tertentu,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat bagi persiapan untuk upacara itu di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Prawit yang juga Menteri Pertahanan dan menteri bertanggungjawab bagi hal ehwal dalam negeri berkata, pegawai-pegawai keselamatan akan berkawal semasa upacara itu untuk mematahkan sebarang  percubaan mencetuskan kekacauan.

Kerajaan yang telah merancang upacara itu sejak setahun lalu, akan mengerahkan hingga  70,000 personel dan sukarelawan keselamatan bagi menentukan upacara itu berjalan tanpa gangguan. 

Upacara itu akan berlangsung di Sanam Luang, berhampiran Grand Palace. – Bernama, 2 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen