11 terbunuh dalam serangan pengebom bunuh diri di Damsyik


Pasukan polis meningkatkan kawalan keselamatan susulan serangan oengebom bunuh diri yang mengirbankan 111 orang di Midan, Damsyik, Syria. – Gambar EPA, 2 Oktober, 2017.

DUA serangan pengebom bunuh diri berlaku ke atas balai polis di tengah kota Damsyik, Syria, lapor media dan menurut pemerhati sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh.

Damsyik merupakan sebuah kawasan yang terasing daripada serangan keganasan yang tercetus sejak perang enam tahun lalu, namun beberapa serangan bom menggegarkan bandar itu. 

Kementerian Dalam Negeri Syria berkata, dua pengebom bunuh diri itu meletupkan diri di balai polis di selatan daerah Midan, yang membawa kepada kematian sejumlah orang awam dan beberapa anggota polis. 

Pemerhati Hak Asasi Syria berkata sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dalam serangan itu, antaranya ialah enam anggota polis. 

Pemerhati itu juga melaporkan, bom kereta turut diletupkan ketika serangan itu, namun media tempatan tidak melaporkannya. 

Menteri Dalam Negeri Mohammed Shaar memberitahu pemberita salah seorang penyerang itu berjaya memasuki balai polis dan sampai ke tingkat pertama bangunan.

Rakaman stesen televisyen tempatan memaparkan kerosakan dari dalam bangunan terbabit dengan uniform hitam polis berada di lantai yang dipenuhi debu akibat letupan itu. 

Seluruh tingkat pertama bangunan terbabit musnah dalam letupan itu manakala di bahagian dalamnya hanya tinggal serpihan besi di sebalik runtuhan. 

Anggota polis mengeluarkan satu mayat yang berbalut plastik putih daripada tempat kejadian.

Seorang guru yang tinggal di Midan, Manal berkata dia terdengar bunyi dua letupan pada tengah hari Isnin. 

“Saya baru pulang dari kerja ketika mendengar bunyi letupan, sekitar jam 2,30 petang. Saya tidak tahu bunyi apa itu, dan terdengar satu lagi letupan beberapa minit kemudian dan bangunan bergegar,” katanya kepada AFP.

“Selepas itu saya mendengar bunyi tembakan, yang biasanya berlaku untuk meminta orang ramai memberikan laluan kepada ambulans untuk mendapatkan mangsa,” katanya. – AFP, 2 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen